Uncategorized

Lagi Kes Keracunan Makanan Berpunca Daripada Puding Buih

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan menjalankan ujian makmal terhadap sampel puding buih yang dimakan oleh dua kanak-kanak sehingga menyebabkan mereka keracunan makanan, Rabu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata sampel akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal dan keputusannya akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari.

“Jika terbukti puding buih penyebab keracunan makanan itu, peniaga boleh diambil tindakan mengikut peraturan 39 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

Semalam, media melaporkan dua beradik dari Kampung Seberang Tuan Chik, di sini, mengalami cirit-birit dan muntah pada jam 4 pagi, dipercayai selepas memakan puding buih yang dibeli oleh ibu mereka di sebuah gerai di Bukit Tumbuh pada jam 6 petang, Rabu lalu.

Kanak-kanak berusia sembilan tahun dan tujuh tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis dan masih menerima rawatan sehingga kini, namun kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan seorang daripada mereka akan dibenarkan pulang hari ini.

Dalam pada itu, Dr Kasemani menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli juadah sepanjang Ramadan bagi mengelak perkara seumpama itu berulang.

“Amalkan kaedah lihat, hidu dan rasa pada makanan sebelum ia dimakan terutama juadah yang menggunakan telur kerana telur yang tidak dimasak sempurna mempunyai risiko menyebabkan keracunan makanan berikutan mengandungi bakteria salmonella,” katanya. – BERNAMA
(Visited 536 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button