NasionalRencah Hidup

Kayuh basikal perlu beriringan – JPJ

SUARA MERDEKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan setiap basikal yang berada di jalan raya hendaklah dikayuh secara beriringan, bersopan serta tidak melulu.

Ketua Pengarajah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, basikal yang dikayuh di atas jalan raya tanpa secara beriringan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Secara dasar JPJ mempunyai peruntukkan Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 yang memberi kuasa untuk menilai isu ini sebelum tindakan diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Bangsar awal pagi ini.

Selain itu, dalam terma JPJ sesebuah basikal mestilah bersifat secara menyeluruh atau sempurna iaitu perlu mempunyai brek, loceng, lampu, rantai serta tayar yang bersesuaian.

“JPJ akan pergi secara teknikal dahulu dan sedang memikirkan pendekatan yang bersesuaian untuk memastikan bahawa kesejahteraan di atas jalan raya berhubung isu basikal lajak dapat ditangani secara menyeluruh dan advokasi,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata basikal lajak iaitu basikal yang diubah suai sehingga mendatangkan bahaya kepada penunggangnya dan pengguna jalan raya yang lain sememangnya haram berada di atas jalan raya.

Pada 29 Oktober lepas, media melaporkan satu klip rakaman video memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya yang tular di media sosial di Tasik Tambahan, Ampang, di sini.

Berikutan itu, perkara berkenaan mendapat respons daripada pihak polis yang menghantar anggota penguat kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk melakukan pemantauan di tasik berkenaan.

Hasil pemantauan berjaya membawa kepada penahanan empat buah basikal lajak bersama penunggang yang kesemuanya remaja lelaki tempatan berumur lingkungan 11 hingga 15 tahun.

Dalam pada itu Bernama melaporkan di KUALA TERENGGANU, Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan basikal lajak di negeri ini diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Terengganu, ACP Noor Halim Nordin berkata walaupun setakat ini Terengganu belum mempunyai kes melibatkan kegiatan basikal lajak tetapi pihak polis tetap memandang serius gejala itu yang menjadi trend dalam kalangan remaja masa kini.

“Ini kerana perbuatan itu bukan saja memberi risiko kepada penunggangnya, malah kepada pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita selepas Op Deepavali di sini, lewat malam tadi.

Noor Halim berkata orang ramai yang melihat aktiviti basikal lajak di jalan raya boleh mengambil video atau gambar menggunakan telefon pintar dan menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

(Visited 314 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button