Ekonomi

Pakej rangsangan PEMERKASA+ rancakkan sesi pembukaan Bursa Malaysia

Ringgit juga dibuka lebih tinggi berbanding Dolar AS

BURSA Malaysia dibuka sedikit lebih tinggi dengan sentimen pasaran yang lebih positif berikutan pakej rangsangan PEMERKASA+ yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin semalam untuk membantu perniagaan serta rakyat Malaysia yang terkesan ketika negara memasuki fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hari ini.

Pada pukul 9 pagi ini, penanda aras FBM KLCI melonjak 2.38 mata atau 0.15 peratus kepada 1,585.93 daripada 1,583.55 pada penutupan petang Isnin. Indeks dibuka 2.19 mata lebih tinggi pada 1,585.74.

Di pasaran pula, kaunter untung mengatasi kaunter rugi dengan 200 berbanding 102 sementara 226 kaunter tidak berubah, 1,605 tidak diniagakan dan 9 yang lain digantung. Jumlah dagangan direkodkan adalah 246.80 juta unit bernilai RM96.78 juta.

bank

Manakala Ringgit Malaysia juga dibuka lebih tinggi berbanding Dolar AS, didorong oleh kenaikan harga minyak kerana pengeluaran yang lebih rendah dan menjelang jangkaan pengumuman laporan data ekonomi Amerika Syarikat yang terkini.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1180 berbanding Dolar AS dari penutupan Isnin pada 4.1220.

Sementara itu, berbanding sekumpulan mata wang utama, wang tempatan diniagakan rendah semasa pembukaan. Berbanding Dolar Singapura, Ringgit turun sedikit ke 3.1188 dari penutupan semalam pada 3.1152 dan sedikit lemah berbanding mata wang Euro kepada 5.0355 dari 5.0227.

Ringgit juga menyusut berbanding Yen Jepun kepada 3.7638 dari 3.7565 dan turun berbanding Pound Britain kepada 5.8591 dari 5.8421. – SM

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button