Nasional

Lagi 3 bot tangkap siput retak seribu secara haram ditahan Maritim Kuala Perlis

TIDAK serik-serik. Terbaharu, tiga bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis kerana disyaki melakukan tangkapan siput retak seribu secara haram di beberapa lokasi sekitar perairan Kuala Perlis, petang semalam.

Terdahulu, pada 17 Februari lalu, Zon Maritim Kuala Perlis telah menahan tiga bot fiber di lokasi berlainan di perairan Kuala Perlis kerana kegiatan yang sama. Ia sekaligus membawa kepada penahanan tiga tekong dan tiga kru pada kali ini.

Antara bot fiber bersama tekong dan kru yang ditahan petang semalam kerana melakukan penangkapan siput retak seribu secara haram di perairan Kuala Perlis.

Zon Maritim Kuala Perlis telah melakukan tangkapan dengan pertama pada pukul 4.13 petang di 0.78 batu nautika.

Disusuli dengan tangkapan kedua pada pukul 4.17 petang di 1.04 batu nautika dan tangkapan ketiga, pukul 4.37 petang 0.65 batu nautika yang kesemuanya di barat Kuala Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Mohd Hashim Mat Zain berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 21 hingga 47 tahun.


“Bot serta hasil tangkapan siput dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hashim berkata, kesemua mereka ditahan berikutan aduan awam yang disalurkan melalui Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Kuala Perlis berkaitan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu di sekitar perairan Kuala Perlis.

Katanya lagi, pasukan Op Aman kemudiannya menuju ke lokasi-lokasi kejadian bagi mengesan dan melakukan pemeriksaan sebelum menahan bot-bot terbabit.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot nelayan tersebut berpangkalan di Kuala Perlis telah disyaki melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah serta Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan,” katanya.

Tambah beliau, dua set sangkar besi berupa tangguk siput dianggarkan bernilai RM1,000 dan hasil laut jenis siput retak seribu seberat 80 kilogram turut dirampas ketika pemeriksaan dilakukan.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk tiga buah bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu sekitar RM19, 120.

“Bot serta hasil tangkapan siput dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Mohd Hashim berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi penangkapan siput jenis retak seribu ini adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut bergalah (ekor biawak).

Aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan berikutan Jabatan Perikanan Perlis tidak mengeluarkan sebarang jenis lesen bagi aktiviti penangkapan siput, katanya.

Lesen atau permit untuk aktiviti penangkapan siput berkenaan hanya dikeluarkan di Kedah dan kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja, kata Mohd Hashim lagi.

Beliau berkata, sebenarnya aktiviti ini boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih-benih ikan di dasar laut serta turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai.

“Akibat aktiviti haram ini, nelayan pesisir pantai terpaksa menanggung kerugian apabila pukat-pukat mereka rosak dan koyak kerana tersangkut dengan kulit siput yang telah mati.

“Tahap kesedaran juga rendah bagi sesetengah komuniti nelayan yang ingin mengaut keuntungan segera menjadi antara punca aktiviti seperti ini masih berlaku di samping kompaun atau denda yang dikenakan, tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukan secara berulang,” ujar beliau.

Mohd Hashim berkata, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 217 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button