
Lafaz Talak Sebab Ego, Bukan Ilmu – Aiman Tak Kesah
PEMPENGARUH media sosial, Aiman atau lebih dikenali sebagai Aiman Tak Kesah, mengakui kekhilafannya dalam melafazkan talak dua terhadap isterinya, usahawan popular Siti Jamumall. Dalam satu video yang kini tular di media sosial, Aiman dengan jujur menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat tanpa ilmu serta pertimbangan yang mendalam.
“Saya tak ada ilmu perkahwinan. Saya lafazkan (talak) memang dengan niat untuk jatuhkan, bukan sebab nak berbincang atau selesaikan masalah. Itu silap saya,” katanya sambil mengakui tindakannya telah memusnahkan rumah tangga yang dibina.
Menurut Aiman, kegagalan memahami selok-belok perkahwinan dan tanggungjawab sebagai suami menjadi antara punca utama keretakan hubungan mereka. Beliau turut menzahirkan rasa kesal kerana tidak mencari ilmu sebelum dan semasa bergelar suami.
Dalam pada itu, Siti Jamumall menerusi kenyataan berasingan memaklumkan bahawa mereka kini sudah kembali rujuk selepas talak disahkan mahkamah. Katanya, keputusan untuk memperbaiki hubungan dibuat selepas masing-masing bermuhasabah dan berusaha menyelamatkan perkahwinan.
“Kami berdua ada buat keputusan untuk baiki semula hubungan. Saya percaya pada jodoh dan doa yang berterusan. Semoga ini menjadi titik mula yang lebih baik,” ujarnya.
Kisah pasangan ini mendapat perhatian ramai netizen yang rata-rata melihatnya sebagai satu pengajaran mengenai pentingnya ilmu, kematangan emosi dan komunikasi dalam sesebuah perkahwinan.