Nasional

Ladang kelapa sawit guna jentera moden atasi masalah kekurangan buruh

Masalah kebergantungan kepada tenaga buruh warga asing di sektor perladangan sawit di negara ini dijangka dapat diatasi apabila penggunaan sepenuhnya jentera dan mesin berteknologi tinggi dapat digunakan dalam tempoh lima tahun lagi.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang giat membangunkan serta pengubahsuaian pelbagai jenis jentera tersebut bagi aktiviti pengumpulan, penuaian sawit dan penyelenggaraan ladang.

Menurutnya, setakat ini MPOB telah mencipta dan membangunkan lebih 35 buah jentera ladang dan telah dikomersialkan kepada industri seperti Hydra-Porter, Cantas, Grabber dan Beluga.

Dengan penciptaan inovasi baharu itu jelasnya, kebergantungan terhadap pekerja asing terutama dari Indonesia dalam sektor tersebut dapat diminimumkan.

“Kekurangan tenaga kerja memang merupakan satu isu di mana buah kita tidak dapat dikutip ataupun buah tidak dapat dituai seperti biasa.

“Ini berlaku sewaktu pandemik Covid-19 kita tahu ini satu kerugian bukan kepada pengusaha tetapi juga kepada kerajaan jadi kita harap melalui apa cara sekalipun dapat menggunakan mekanisasi ini pada masa akan datang.

“Sehubungan itu saya harap MPOB dapat meningkatkan produktiviti sawit dan membantu mengatasi isu kekurangan kebergantungan kepada tenaga buruh asing dalam sektor perladangan sawit di negara ini,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Labour And Mechanisation In Plantation Seminar (LAMP 2022) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Jeck Seng berkata, sektor perladangan sawit di negara ini berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja sehingga menjejaskan pendapatan pemegang taruh dan pengusaha sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, sejak tanaman sawit dibangunkan secara komersial aktiviti ladang sawit bergantung kepada tenaga buruh dari Indonesia terutamanya untuk penyenggaraan ladang dan penuaian buah tandan segar (BTS).

“Pada tahun 2021 direkodkan sebanyak 74 peratus daripada 391,000 pekerja ladang adalah warga asing yang majoritinya dari Indonesia dan mereka ini bekerja sebagai penuai, pemungut BTS dan pekerja ladang untuk merumput, membaja serta mencantas,” ujarnya.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia mengambil langkah bagi memudahkan kemasukan tenaga buruh asing dan masih memerlukan 100,000 pekerja asing.

Jelasnya, walaupun sektor perladangan menawarkan pelbagai isentif tetapi disebabkan stigma 3D (dirty, difficult and dangerous) menyebabkan golongan belia tidak berminat bekerja di sektor perladangan yang memberi kesan kekurangan tenaga kerja. – SM

(Visited 683 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button