Politik

Calon PM: Pas, UMNO, Bersatu ibarat biduk lalu kiambang bertaut

Perhubungan parti PAS, UMNO, Bersatu dan parti-parti lain yang membentuk kerajaan yang dilihat retak sebelum ini diibaratkan biduk lalu kiambang bertaut.

Ahli Jawatankuasa kerja Pas Pusat Dr. Mohd. Zuhdi Marsuki yakin parti-parti tersebut akan sekali lagi mencapai persetujuan untuk mencadangkan seorang perdana menteri baharu untuk mengantikan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang meletakkan jawatan pada Isnin lalu.

Mohd. Zuhdi berkata, kejayaan kesemua parti tersebut menyelesaikan pertikaian yang berlaku atas semangat penyatuan ummah dan integrasi nasional akan menggagalkan sama sekali pihak yang mahu menangguk di air keruh.

Dengan persetujuan pelantikan calon perdana menteri yang baharu, menurut Mohd. Zuhdi, kemelut politik yang berlaku sejak beberapa minggu yang lalu akan mula selesai.

“Usaha pihak tersebut untuk melaksanakan strategi pecah dan perintah khususnya terhadap Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional sekali lagi menemui kebuntuan.

“Selepas ini kesemua parti yang berada dalam kerajaan seharusnya memperkukuhkan lagi kerjasama dan merundingi semua pihak di dalam Majlis Presiden Parti-parti apabila membuat sesuatu keputusan besar.

“Semangat musyawarah seperti yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang merentasi kaum akan menjadikan Kerajaan PN 2.0 lebih kukuh dari sebelumnya,” katanya.

Tambah beliau, sebuah kerajaan yang kukuh meskipun hanya mempunyai kelebihan empat atau lima kerusi adalah amat penting untuk negara terus menghadapi pandemik COVID-19 yang sudah mula menunjukkan kejayaan kebelakangan ini.

“Marilah kita terus berdoa agar negara dan rakyat akan keluar dari situasi gawat ini dan seterusnya kita berganding bahu untuk membina semula negara ini ke arah kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Setakat ini hanya dua nama sahaja disebut-sebut sebagai calon perdana menteri ke-9 iaitu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesemua 220 ahli Parlimen telah diminta untuk menyerahkan surat akuan untuk menyatakan sokongan kepada ahli Parlimen yang dipilih sebagai perdana menteri ke-9 kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Mereka perlu menyerahkan surat akuan berkenaan sebelum pukul 4 petang ini.-SM

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button