
KWSP catat pendapatan pelaburan RM18.31 bilion untuk suku pertama
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025), turun 13 peratus berbanding RM20.99 bilion yang dicatatkan untuk suku yang sama pada tahun 2024.
Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM1.02 bilion yang belum direalisasikan, kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing. Selaras dengan polisi
KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, pasaran global menjadi
tidak menentu pada awal tahun 2025 berikutan ketegangan perdagangan yang kembali
memuncak dan ketidaktentuan dasar.
Katanya, walaupun pengumuman tarif dibuat oleh pentadbiran Amerika Syarikat pada 2 April, ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat telah mula memberi kesan kepada pasaran saham utama sepanjang suku.
“Walaupun tekanan inflasi semakin menurun di beberapa ekonomi, pelonggaran dasar monetari mengikut rantau adalah berbeza pada kadar dan masa, sekaligus menjejaskan tahap penerimaan risiko.
“Portfolio global KWSP yang pelbagai telah mengurangkan impak tersebut dan memastikan ia terus berada di landasan yang tepat untuk mencipta nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang suku yang dikaji, Ekuiti menyumbang sebanyak RM10.81 bilion, susut 23 peratus
daripada RM14.02 bilion yang dicatatkan pada S1 2024.
Penurunan ini adalah disebabkan oleh prestasi yang lebih lemah di pasaran ekuiti global dan persekitaran pelaburan yang mencabar.
Kelas aset ini terus menjadi penyumbang terbesar, merangkumi 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Instrumen Pendapatan Tetap terus menjadi tonggak pemeliharaan modal, menyumbang sebanyak RM5.99 bilion atau 33% daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Instrumen Pendapatan Tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, kekal memenuhi dua mandatnya iaitu memberikan pulangan yang stabil dan mengimbangkan turun naik pasaran ekuiti. Ini menunjukkan kepentingan strategiknya dalam melindungi simpanan ahli sepanjang kitaran pasaran.
Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.08 bilion pada S1 2025, manakala Instrumen Pasaran Wang menjana sebanyak RM0.43 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan untuk kelas aset ini.
Daripada jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM15.87 bilion telah dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM2.44 bilion untuk Simpanan Shariah.
Sehingga Mac 2025, jumlah aset pelaburan KWSP telah mencecah RM1.26 trilion, dengan 38% daripadanya dilaburkan di luar negara. Sepanjang tempoh tersebut, pelaburan luar negara telah menjana RM8 bilion atau 44% daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 62% daripada jumlah aset, terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui dividen, faedah dan keuntungan daripada sukuk.
KWSP kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus melabur lebih 70% daripada peruntukan tahunannya dalam pasaran domestik.
Ini mencerminkan peranannya sebagai pelabur jangka panjang dan sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh Kerajaan. Melalui inisiatif GEAR-uP, KWSP memberi tumpuan kepada pembangunan peluang pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan.
Usaha ini bertujuan untuk menjana pertumbuhan jangka panjang, menangani jurang kritikal dalam sistem dan menyokong persaraan yang lebih sihat untuk rakyat Malaysia. – SM