Nasional

Kadar vaksinasi 2 dos lepasi 10% petunjuk negara di landasan betul

Kadar vaksinasi lengkap dua dos telah melepasi nilai ambang 10% semalam menjadi petunjuk negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai ambang 10% adalah kadar yang ditetapkan oleh kerajaan untuk negara beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Indikator tersebut sejajar dengan perancangan PPN yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10% populasi pada akhir bulan Julai ini.

“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa 2 pada awal bulan Ogos sepertimana negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang telah pun terlebih dahulu berada di Fasa 2 setelah melepasi nilai ambang ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan di
bawah PPN,” kata Ismail Sabri.

Dalam pada itu 68 lagi premis diarahkan tutup semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard yang  telah ditetapkan kerajaan. Ia melibatkan 23 kilang, premis perniagaan (43) dan tapak pembinaan (2).

“Semalam, 471 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 446 individu dikompaun manakala 16 lagi direman dan sembilan (9) dijamin.

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Sementara itu beberapa lokaliti di Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 16 Julai hingga 29 Julai.

Di Sabah kawasan yang terlibat adalah Kampung Lubak, Beaufort; Blok 2, Blok dan Blok 9 Projek Perumahan Rakyat Taman Mesra, Sandakan; Blok Angsana dan Blok Sumboi-Sumboi, Kampung Seberang, Benoni, Papar dan Kampung Melalam, Sipitang.

Manakala di Sarawak melibatkan Kampung Jagoi Duyoh, Daerah Bau, Kuching.

PKPD di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 29 Julai ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD di lima lokaliti bermula esok iaitu Jalan Kubur, Kuala Lumpur; Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan; Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan, Jelebu, Negeri Sembilan; Taman Public, Kota Kinabalu dan Kampung Gusi Kinarut, Papar, Sabah.-SM

(Visited 90 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button