Nasional

Jangan buang racun tuba – Sukarelawan Perikanan Darat

PIHAK kami akan melaporkan kepada Jabatan Perikanan sekiranya mendapati ada berlakunya kegiatan menuba atau menangkap ikan dan udang dengan cara salah, kata kata Sukarelawan Perikanan Darat, Maulud Idris, 60.

Jelasnya, mereka tidak mahu tempat mereka mencari rezeki dituba sebaliknya mahu ia kekal sebagai tempat pembiakan ikan dan udang galah.

Beliau berkata, Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi, di Lubok Cina dekat sini, adalah antara sungai utama nelayan darat mencari rezeki sejak dulu.

Katanya, nelayan sungai di Pangkalan Nelayan Ramuan Cina Kecil, Paya Lebar, Tebing Urut dan Telok Berembang tidak terbabit dalam kerja menangkap ikan dan udang dengan menggunakan tuba.

“Nelayan tempatan juga sering menasihati kaki pancing yang datang dari luar supaya tidak melakukan perkara berkenaan.

“Kami beritahu mereka memancing atau menjaring dengan betul dan bukannya membuang racun tuba ke dalam sungai semata-mata untuk meraih keuntungan jangka pendek” katanya selepas majlis pelancaran Sukarelawan Perikanan Darat di Pangkalan Nelayan Kampung Ramuan Cina Kecil.

Selain menuba, nelayan darat juga tidak mahu ada pihak tertentu menggunakan bubu naga untuk mendapatkan ikan dan udang galah lebih banyak, kata rakannya, Jalil Hassan, 61.

“Bubu naga menyebabkan anak ikan dan anak udang galah terperangkap dalam bubu dan akhirnya tiada lagi sumber ikan serta udang galah untuk kami tangkap bagi menyara keluarga,” katanya.

Rahman Mohamad, 55, pula berkata sebelum ini pendapatan nelayan terjejas akibat aktiviti mengorek pasir sungai dan kini tidak mahu ada pihak tertentu menangkap ikan serta udang galah dengan kaedah menyalahi undang-undang. – Berita Harian – SM

(Visited 340 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button