Mahkamah

Kurung, cederakan jurukimpal, tiga lelaki dihadapkan ke mahkamah

TIGA lelaki termasuk dua beradik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan mengurung dan mencederakan seorang jurukimpal, Rabu lepas.

Bagaimanapun Muhamad Hafizhu Zarawi, 33, dan Muhamad Azizu, 27, mengaku tidak bersalah atas kesalahan tersebut manakala seorang lagi rakan mereka yang berumur 26 tahun, dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.

Menurut pertuduhan pertama yang dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, dua beradik tersebut telah didapati mengurung dengan salah Ahmad Farid Mohammad, 28, bertujuan memaksa mangsa memulangkan wang tunai yang mungkin membawa pengembalian harta itu.

Kedua tertuduh didapati melakukan kesalahan tersebut pada Rabu lepas (1 Julai) lebih kurang pukul 6.20 pagi di dalam sebuah kereta Wira Aeroback, di Kampung Bukit Gasing.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka telah didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa pada waktu dan lokasi yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Lishantini manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Shahir Mat Jusoh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 pagi Rabu lepas, Ahmad Farid yang bekerja sebagai jurukimpal dikatakan dipukul tiga lelaki yang juga kenalannya, dalam pergaduhan dipercayai akibat hutang di Kampung Bukit Gasing dan mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian. – BERNAMA SM

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button