Ekonomi

Kumpulan Public Bank catat untung sebelum cukai RM2 bilion bagi suku pertama 2022

Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.00 bilion bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac 2022, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.1% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021.

Bagaimanapun, keuntungan bersih milik pemegang saham merosot 8.6% kepada RM1.40 bilion berbanding dengan RM1.53 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021, terutamanya berikutan pengenaan cukai makmur satu kali yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 2022.

Sektor perbankan domestik terus menghadapi cabaran ketara berikutan kesan wabak COVID-19 yang masih berleluasa. Tekanan ke bawah terhadap ekonomi diburukkan lagi dengan ketegangan geopolitik dan konflik dunia.

Tan Sri Dr. Teh Hong Piow, Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank berkata, “Secara keseluruhannya, cabaran persekitaran operasi masih hebat. Bagaimanapun, asas Kumpulan Public Bank yang kukuh, berserta kewaspadaan dan kepantasannya, telah membolehkan Kumpulan untuk
terus mengekalkan keteguhan kewangannya.”

Tan Sri Teh berkata, “Pada suku pertama tahun 2022, Kumpulan Public Bank terus mengekalkan ketahanan dalam pulangan ekuiti bersihnya sebanyak 11.8% dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 33.2%.”

Pengembangan Kukuh dalam Perniagaan Pinjaman dan Deposit Pada akhir bulan Mac 2022, jumlah pinjaman Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.3% kepada RM362.7 bilion.

Pinjaman domestik berkembang kukuh pada kadar tahunan sebanyak 5.9% kepada RM339.6 bilion. Ini
terutamanya disumbangkan oleh sektor runcit, terutamanya pembiayaan bagi hartanah kediaman dan pembiayaan sewa beli.

Jumlah pinjaman yang diluluskan meningkat sebanyak 14.0% pada suku pertama tahun 2022, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021. Pada akhir bulan Mac 2022, Kumpulan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam hartanah kediaman, hartanah komersial dan pembiayaan sewa beli
dengan bahagian pasaran masing-masing sebanyak 20.5%, 34.0% dan 30.4%.

Dari segi pendanaan, jumlah deposit pelanggan Kumpulan mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 4.6% kepada RM384.8 bilion. Deposit domestik berkembang pada kadar yang sama dengan kadar tahunan sebanyak 4.6% kepada RM356.7 bilion.

Tan Sri Teh berkata, “Pertumbuhan pembiayaan Kumpulan Public Bank disokong kukuh oleh struktur pendanaan yang baik seperti yang ditunjukkan dalam nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kasarnya sebanyak 80.7%, pada akhir bulan Mac 2022.”

Sokongan Berterusan daripada Pendapatan Bukan Faedah Bagi suku pertama tahun 2022, pendapatan bukan faedah Kumpulan Public Bank lebih rendah sebanyak 10.9% berbanding dengan suku tahun yang sama tahun
sebelumnya. Ini terutamanya disebabkan oleh kemerosotan dalam pendapatan Kumpulan berikutan pengurangan dalam pendapatan daripada perniagaan unit amanah dan pembrokeran saham serta pendapatan pelaburan yang lebih rendah berikutan keadaan pasaran yang kurang memberangsangkan pada suku tahun berkenaan.

Bagaimanapun, pendapatan fi dan komisen kekal stabil. Tan Sri Teh menegaskan, “Perniagaan unit amanah Kumpulan Public Bank, yang dijalankan oleh subsidiari milik penuhnya, Public Mutual, kekal sebagai
penyumbang utama kepada pendapatan bukan faedah Kumpulan. Public Mutual mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM202.0 juta pada akhir suku pertama tahun 2022, menyumbang 10.1% kepada keuntungan Kumpulan.

Pada akhir bulan Mac 2022, Public Mutual terus menguasai bahagian pasaran runcit yang besar sebanyak 35.4%, dengan sejumlah 177 dana unit amanah dan jumlah aset di bawah pengurusan sebanyak RM99.8 bilion.”

Pengurusan Kos yang Cekap Bagi suku pertama tahun 2022, Kumpulan mencatatkan kenaikan sebanyak 1.4%
dalam perbelanjaan overhed.

Tan Sri Teh berkata, “Sebagai meneruskan strategi mengoptimumkan kosnya, Kumpulan Public Bank terus menerima pakai pendekatan berhemah dalam menguruskan perbelanjaan overhednya. Pada suku pertama tahun 2022, nisbah kos kepada pendapatan Kumpulan terus berada pada paras cekap iaitu 33.2%, berbanding dengan purata industri perbankan domestik sebanyak 48.1%.”

Kualiti Aset yang Bertahan Pada akhir bulan Mac 2022, nisbah pinjaman pengurangan nilai Kumpulan Public
Bank kekal rendah pada 0.3%, jauh lebih rendah daripada nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar industri sebanyak 1.5%.

Tan Sri Teh menegaskan, “Meskipun profil kreditnya bertahan, Kumpulan Public Bank terus berhati-hati dan meneruskan pendekatan berhemah dalam mengetepikan rizab kerugian pinjamannya.

Dengan peruntukan awal berhemat yang diketepikan sejak permulaan wabak itu, nisbah perlindungan kerugian
pinjaman Kumpulan adalah yang paling berhemat dalam kalangan pesaingnya.

Pada akhir bulan Mac 2022, nisbah perlindungan kerugian pinjaman Kumpulan berada pada 382.5%, ketara lebih tinggi berbanding dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman industri perbankan sebanyak 115.7%.

Sementara itu, nisbah perlindungan kerugian pinjaman Kumpulan termasuk rizab pengawalseliaan adalah lebih tinggi pada 402.7%.”

Bantuan kepada Pelanggan yang terjejas oleh pandemik Sejak bermulanya wabak COVID-19 pada tahun 2020, Kumpulan Public Bank kekal komitted untuk membantu individu dan perniagaan yang menghadapi kekangan
pembayaran balik menerusi pelbagai pakej pembayaran balik yang fleksibel.

Selain itu, Kumpulan juga terus memyediakan pelbagai sokongan pembiayaan kepada PKS, termasuk pelbagai pembiayaan PKS yang dimulakan oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia.

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button