Jenayah

Kumpulan kongsi gelap ditangkap buat jamuan Hari Bapa

JANGAN sangka kerana sudah terlibat dalam kumpulan kongsi gelap maka boleh langgar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

Seramai 11 individu yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap Heng 35 telah ditahan oleh polis kerana berkumpul menyambut Hari Bapa.

Kesemua mereka ditahan selepas video majlis sambutan tersebut yang turut melibatkan pemotongan kek berbentuk angka 35 tular di media sosial.

Video berdurasi 44 saat itu di TikTok yang dimuat naik pada pukul 7 malam tadi menunjukkan lelaki memotong kek berwarna merah kuning tersebut dan menjadi petunjuk kepada polis untuk mengesan individu terbabit.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan dilakukan bermula 10 malam tadi secara berperingkat di daerah Kulim.


“Hasil risikan yang dilakukan mendapati kejadian berlaku di salah sebuah rumah suspek yang meraikan sambutan Hari Bapa.

“Dalam video itu juga, didapati 15 individu berkumpul dalam sebuah rumah tanpa penjarakan fizikal.

“Ianya jelas melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2021 dan laporan polis dibuat sejurus selepas itu,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan berusia 25 hingga 61 tahun.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan 10(1) PPDPP 2021.

Polis percaya kesemua yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan kongsi Gelap Geng 35 dan beberapa rampasan seperti telefon bimbit serta cincin dibuat untuk membantu siasatan.

Kamarul Zaman berkata, kesemua suspek dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman.-SM

 

 

 

(Visited 39 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button