BeritaPendidikan

KUIPs sasar jadi universiti sepenuhnya

Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) memasang impian dalam tempoh masa 3-5 tahun yang akan datang untuk mampu mencapai penarafan ke arah menjadi sebuah Universiti Penuh.

Matlamat tersebut juga adalah selaras dengan hasrat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga melalui Perancangan Strategik KUIPs yang terancang.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima sumbangan cek bagi pihak MAIPs daripada wakil Majlis Jemaah Muslim Alangakulam Malaysia yang dipersembahkan oleh SMA Thalha Abdul Wahab dan Al Sabri Ahmad Kabri masing-masing bernilai RM10,000 yang diadakan di Auditorium Kampus KUIPs di Seberang Ramai Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Canselor KUIPs, disambut oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Mohd Nazim pula, ‘Kepakaran akademik yang dimiliki oleh KUIPs dan juga pelbagai kolaborasi industri yang erat diharap akan mampu memberikan impak dalam menghasilkan graduan yang berkualiti dan holistik melalui penggabungan program akademik berteraskan Islam dan penerapan nilai-nilai serta akidah yang berpaksikan kepada Al-Quran dan Sunnah.

Untuk rekod, KUIPs merupakan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang telah ditubuhkan pada 3 Mac 2013.

Turut diadakan di program tersebut ialah penyampaian sumbangan bantuan zakat MAIPs oleh Tuanku Raja Muda kepada seramai 30 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Masjid Darul Ulum Kg Wang Ulu berupa wang tunai selain sumbangan bahan makanan mentah daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Yayasan Perlindungan dan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM).

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan menyaksikan pengedaran sumbangan juadah berbuka puasa yang disumbangkan oleh Majlis Jemaah Muslim Alangakulam Malaysia kepada seramai 500 orang asnaf terpilih yang diagihkan melalui 20 amil-amil di 5 zon seluruh negeri Perlis.

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button