Uncategorized

Kubu kuat DAP di Kota Melaka bakal roboh

Kubu kuat DAP di Parlimen Kota Melaka bakal tumbang buat kali kedua selepas Barisan Nasional (BN) menawan kawasan itu pada 2004 dan bakal berulang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Kali ini calon Melayu, Suhaime Borhan, 43, yang diketengahkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding buat pertama kali dalam sejarah kawasan tersebut dilihat mampu melakar kejutan menewaskan penyandang kerusi tersebut, Khoo Poay Tiong.

Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam berkata, beliau tidak sangsi dengan keupayaan Suhaime untuk membuat kejutan walaupun pada tradisinya calon dari kaum Cina sahaja kerap bertanding di Kota Melaka.

Menurutnya, keputusan yang diambil oleh parti itu untuk meletakkan calon Melayu bertanding di kubu kuat DAP hasil daripada satu penyelidikan yang telah merumuskan peluang untuk menang adalah cerah.

“Saya harap Suhaime dapat memecah rekod dan mencipta sejarah sebagai orang Melayu pertama dalam politik Malaysia menang di kerusi Parlimen Kota Melaka yang majoritinya ramai pengundi Cina dan merupakan kubu kuat DAP.

“Mungkin kalangan parti politik tidak percaya dengan keputusan Gerakan meletakkan calon Melayu kerana secara tradisinya sejak dahulu kawasan ini ditandingi calon dari bangsa Cina dan persaingan antara DAP dan BN.

“Saya yakin dengan keupayaan Suhaime yang juga Naib Pengerusi Gerakan Melaka menjadi calon buat PN dan dilihat boleh membuat kejutan merobohkan kubu kuat DAP,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat parti itu di Melaka Raya, Bandar Hilir di sini hari ini.

Pada PRU15 saingan empat penjuru di Parlimen Kota Melaka selain Suhaime membabitkan penyandang kerusi itu dari DAP, Poay Tiong, Kon Qi Yao dari BN dan Datuk Dr. Norazlanshah Hazal dari Bebas.

Mengulas lanjut Michael berkata, faktor peratusan pengundi Melayu di kawasan tersebut meningkat daripada 38 peratus kepada 43 peratus manakala kaum India sebanyak lima peratus memberi petanda positif ke arah kemenangan yang boleh dicapai oleh calonnya.

Beliau berkata, dengan mengandaikan hanya 52 peratus pengundi Cina layak mengundi akan berpecah kepada DAP dan BN, undi Melayu dijangka boleh diperoleh buat Suhaime walaupun terdapat seorang calon Bebas, Norazlanshah turut bertanding di situ.

“Calon kita cukup dikenali kerana peribadiannya yang baik dan dapat diterima terutama dalam kalangan pengundi Melayu dan saya harap masyarakat di sini dapat memberi mandat kepada Suhaime,” ujarnya.

Justeru beliau berkata jentera parti membabitkan parti komponen dalam PN selain Gerakan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan bertungkus lumus untuk memastikan calon yang diketengahkan mampu membuat kejutan. – SM

(Visited 338 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button