fbpx
Nasional

Kuasa pengimbang politik masih di tangan Agong, Raja Melayu

KUASA pengimbang politik Malaysia tetap ada pada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Agong, para sultan masing-masing atau pada Majlis Raja-Raja berfungsi di bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

Di semua negeri di Semenanjung misalnya hanya orang Melayu yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar tetapi hal yang sama tidak wujud di Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Perkara 43(2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat.


Agong mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh dipersoalkan:
(a) Pertama, melantik seseorang Perdana Menteri, (b) kedua, tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak) dan (c) ketiga, meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja dan mengambil tindakan darihalnya.

Kuasa ini juga wujud di bawah Perlembagaan semua negeri beraja. Peristiwa di Perlis dan Terengganu pada April 2008 jelas menukilkan fakta ini.

Pada masa itu, kedua-dua negeri telah menerima nama-nama pemimpin daripada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai menteri besar masing-masing.

Lazimnya siapa yang dinasihati Perdana Menteri untuk menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah negeri, nasihat atau cadangan menteri besar itu dipersetujui sahaja oleh Raja.

Tetapi dalam hal Perlis dan Terengganu, Raja dan Sultan berkenaan enggan melantik calon-calon yang dicadangkan oleh Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu).

Sebaliknya Raja dan Sultan kedua-dua negeri itu melantik Datuk Seri Md Isa Sabu bagi Perlis dan Datuk Seri Ahmad Said bagi Terengganu.

Perlakuan ini sekali gus memudarkan imej kepimpinan Perdana Menteri dan menimbulkan kesan negatif kepimpinan. Peristiwa ini tidak pernah berlaku sebelumnya.

Kedudukan Perlembagaan Raja-raja di Malaysia mempunyai sejarah yang lama. Kedudukan mereka yang tidak boleh dipertikaikan sebagai Raja-raja mutlak boleh dikesan sejak berzaman lamanya dan hanya pada 1874 dengan munculnya perlindungan British, kuasa-kuasa dan keistimewaan-keistimewaan mereka mula berkurangan.

Sesungguhnya selewat tahun 1931 apabila Braddel dalam bukunya The Legal Status of The Malay States, Singapura menceritakan kedudukan Negeri-negeri Melayu di sisi undang-undang, titah atau arahan daripada seorang Sultan Melayu masih dianggap undang-undang.

Kedudukan mereka yang istimewa di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Merdeka dan Perlembagaan 1963 adalah terpelihara.

Malaysia satu-satunya negara di dunia mempunyai paling ramai Raja yang memerintah dalam sembilan daripada 14 negeri dalam pertubuhan persekutuan moden ini. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button