NasionalNegeriPendidikan

FYPComp@POLIMAS: AR Sandbox kalahkan 250 projek Anugerah Pengarah

PROJEK AR Sandbox merangkul Anugerah Pengarah pada Pertandingan Projek Akhir Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) 2023 (FYPComp@POLIMAS 2023) di Dewan Sri Mas, POLIMAS, Jitra, Kedah baru-baru ini.

Projek Ar Sandbox atau tajuk sebenar Penggunaan AR Sandbox Dalam Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Bagi Memahami Rupa Bentuk Bumi telah mengalahkan 250 projek lain yang dipertandingkan.

Azzalizah dan Aiman menerangkan Projek Akhir mereka Juri Penilai Projek Akhir dari pihak industri.

Projek ini diinovasikan oleh dua pelajar tahun akhir Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah dari Jabatan Kejuruteraan Awam iaitu Aiman Bunari dan Azzalizah Abbas.

Kumpulan pelajar ini diselia oleh Mohd Firdaus Abdul Rashid, pensyarah kursus Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah.

Menurut Aiman, “AR Sandbox ialah alat perisian interaktif yang menggabungkan teknologi reality ditambah dengan simulasi fizik untuk mencipta persekitaran dengan menggunakan pasir kinetik yang boleh dibentuk oleh pelajar atau pensyarah”.

Katanya, AR Sandbox membolehkan pelajar memahami dan menvisualisasi pergerakan rupa bentuk bumi ini dengan lebih mendalam

“Ia juga membolehkan pelajar memahami konsep dalam bahagian topografi dan alam sekitar dengan mudah,” terangnya lagi.

Aiman bersama Azzalizah bergambar bersama Pensyarah Penyelia, Mohd Firdaus Abd Rashid dan juga juri dari pihak industri selepas menilai projek AR Sandbox ciptaan mereka.

Azzalizah pula bersyukur atas kemenangan ini dan tidak menyangka projek mereka akan memenangi Anugerah Pengarah bagi projek terbaik dalam pertandingan ini.

“Terima kasih kepada penyelia kami yang telah bertungkus lumus membantu kami dari segi khidmat nasihat sehingga projek berjaya disiapkan,” katanya.

FYPComp@POLIMAS 2023 mempertandingkan 251 projek dengan penyertaan 456 pelajar dari pelbagai jabatan di POLIMAS.

Hadiah berupa wang tunai, plak dan sijil disampaikan oleh Pengarah POLIMAS, Rosli Idris kepada para peserta yang memenangi pertandingan ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Northern Coral (M)Sdn. Bhd. selaku Pengerusi Alumni POLIMAS, Datuk Mohd Yuzi Md Zin.

Sementara itu Rosli ketika berucap pada majlis Penutupan FYPComp@POLIMAS 2023 berkata, projek akhir pelajar merupakan perkara yang amat baik dipertandingkan disamping belajar kemahiran dan teori elemen inovasi juga perlu diterapkan.

“Elemen ini boleh menjadi satu nilai tambah kepada pelajar kerana pelajar perlu mempunyai daya inovasi yang tinggi dan mengembangkannya supaya boleh dilihat oleh pihak industri,” katanya.

Katanya lagi, program ini menjadi keperluan industri dalam memacu pengeluaran atau perkhidmatan bagi peningkatan ekonomi negara di samping memberi peluang kepada pelajar tahun akhir menghasilkan kreativiti dan inovasi yang dibuat oleh pelajar untuk dipertontonkan kepada pihak industri.

Manakala Pengarah program, Dr Nui a/p Din Keraf berkata, pertandingan ini bertujuan bagi membolehkan para pelajar mempersembahkan semua projek akhir mereka kepada pihak industri.

“Dalam pertandingan ini kita mengumpulkan semua panel luar untuk melihat dan menilai inovasi dan kreativiti yang dihasilkan oleh pelajar di samping mengembangkan “soft skill” mereka,” katanya.

Katanya lagi, program yang julung kali diadakan ini melibatkan semua jabatan akademik bagi mempersiapkan diri para pelajar POLIMAS untuk menjadi peneraju TVET apabila memasuki alam pekerjaan nanti selaras dengan kehendak industri. – SM

BACA CIDB, MRCB jalin kerjasama tingkat kebolehpasaran graduan TVET pembinaan

BACA  UPSI, GONG STUDIO, jalin kerjasama mantapkan TVET

(Visited 341 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button