fbpx
Politik

Kuarantin Ahli Parlimen Sabah serupa penahanan ISA

PENGALAMAN ahli-ahli Parlimen dari Sabah yang perlu menjalani kuarantin berasingan di bilik hotel seakan-akan serupa dengan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

AHLI Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ahli-ahli Parlimen dari Sabah sepatutnya tidak perlu menjalani kuarantin berasingan di bilik hotel seorang diri selama 14 hari di Kuala Lumpur sekiranya Persidangan Dewan Rakyat akan datang berlangsung secara maya.

“Jika persidangan secara maya ini diadakan, tidak perlulah ahli-ahli Parlimen dari Sabah dikuarantin di bilik hotel selama 14 hari di Kuala Lumpur, sebelum mereka dapat menjalani ujian saringan Covid-19 untuk menghadiri persidangan belanjawan yang akan berlangsung selama 27 hari bermula pada 2 November ini, memandangkan ahli-ahli Parlimen Sabah ini seakan-akan menjalani “tahanan perseorangan” selama 14 hari di bilik hotel mereka di Kuala Lumpur.

“Pengalaman ahli-ahli Parlimen Sabah yang perlu menjalankan “kuarantin berasingan” di bilik hotel ini seakan-akan serupa dengan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ditahan secara bersendirian selama 60 hari pertama mereka sebelum akta ini dimansuhkan,” kata Kit Siang.

Beliau berkata demikian bagi mendesak Parlimen membuat persediaan untuk melakukan persidangan Dewan Rakyat secara maya ketika negara berhadapan gelombang ketiga wabak Covid-19.


Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, turut membuat spekulasi, ketidaksediaan Parlimen untuk bersidang secara maya disebabkan kerajaan Perikatan Nasional tidak akan memberi kebenaran.

“Memandangkan tumpuan utama mereka adalah bagaimana untuk menggantung persidangan Parlimen dan mengecualikan pentadbiran mereka daripada akauntabiliti dan penelitian daripada Parlimen dengan menggunakan Covid-19 sebab alasan?

“Sebenarnya, persoalan sama ada Parlimen boleh bersidang secara maya atau pun tidak bergantung sepenuhnya kepada keputusan Tuan Yang di Pertua dan Jawatankuasa Dewan, jika doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, legislatif, dan kehakiman dipatuhi di negara kita.

“Malangnya, perkara ini tidak berlaku,” dakwa Kit Siang dalam satu artikel yang dikongsi di media sosialnya.

Kit Siang berkata, Parlimen sepatututnya diberikan jaminan yang Kabinet akan meluluskan cadangan belanjawan untuk mengadakan persidangan secara maya.

Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 27 hari mulai 2 November depan.

Mesyuarat ke-3, penggal ke-3, Parlimen ke-14 itu akan berlangsung sehingga 15 Disember 2020.

Pembentangan Belanjawan 2021 antara yang akan mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 itu dijadual dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 4 petang, 6 November nanti.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button