fbpx
Nasional

Kuarantin wajib: Warga asing bayar penuh, rakyat tempatan 44%

WARGANEGARA asing yang masuk ke negara ini dan menjalani kuarantin wajib 14 hari perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan Covid-19.

Bagi rakyat Malaysia 56 peratus kos kuarantin termasuk ujian saringan Covid-19 akan ditanggung oleh Kerajaan manakala baki sebanyak 44 peratus akan ditanggung oleh individu terbabit.

Kuarantin wajib dilaksanakan sejak 24 Julai lalu terhadap semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing mengikut kategori yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,sehingga kini seramai 1,448 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kesemua mereka telah ditempatkan di stesen kuarantin di enam hotel dan tiga Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.


Mereka telah pulang dari 19 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia.

Keputusan untuk membuka semula stesen kuarantin untuk proses kuarantin wajib dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes import dan risiko penularan jangkitan COVID-19 akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard operasi.

“Kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan SOP home quarantine yang telah menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

“Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama anggota PDRM akan membuat pemeriksaan (spot-check) untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan,” kata Ismail Sabri dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu,  mulai hari ini Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan untuk menangkap dan mendakwa di mahkamah 2,897 individu yang belum tampil untuk ujian saringan kedua.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button