Mahkamah

Ku Nan dilepaskan dan dibebaskan tuduhan terima rasuah

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini dianggotai panel tiga hakim diketuai Datuk Suraya Othman.

Dalam keputusan majoriti 2-1 itu mahkamah membenarkan rayuan Tengku Adnan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Ahmad Nasfy sependapat dengan Suraya manakala keputusan minoriti dibuat oleh Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang dijatuhkan terhadap Tengku Adnan oleh Mahkamah Tinggi.

Tengku Adnan, 70, sebelum ini didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan.

Beliau menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.-SM

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button