Politik

Ku Nan diasak 5 penjuru termasuk Radzi Jidin kerusi Parlimen Putrajaya

EMPAT bendera parti berkibar di tepi jalan menuju ke Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya dalam hujan renyai dan cuaca mendung seolah-olah menyambut kehadiran calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bendera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berkibar sebelah menyebelah manakala bendera Pakatan Harapan (PH) juga kelihatan berkibar ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

Nun jauh di hujung jalan, agak sayup-sayup mata memandang kelihatan bendera berwarna putih milik Parti Pejuang yang mana calonnya bertanding atas simbol GTS di Putrajaya, kubu kuat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini berusia 71 tahun.

Seawal 8 pagi lagi para penyokong parti berada di barong masing-masing dan calon dari parti Bersatu yang bertanding di bawah PN, Datuk Dr Radzi Jidin tiba untuk menyerahkan borang pencalonan beliau dengan diiringi pencadang dan seorang penyokong.


Ketibaan Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan disambut dengan sorakan para penyokong PN Putrajaya.

Beliau mengambil kesempatan bersalaman dengan para penyokongnya.

Segak mengenakan baju Melayu berwarna biru, bersongkok dan bersamping, sekitar 8.50am Radzi, 45, berjalan kaki menuju ke dewan.

Sementara itu, dari jauh kedengaran sorakan dan paluan gendang yang datang dari arah sekumpulan penyokong BN.

Petanda calon UMNO yang bertanding atas tiket BN pada PRU15 ini, sosok tubuh yang amat dikenali oleh penduduk Putrajaya melambaikan tangan dari dalam kenderaan yang dinaiki.

Sekitar 50 meter, kenderaan tersebut berhenti dan cermin tingkap sisi tempat duduk belakang diturunkan dan kedengaran suara berkata, “Berhenti di sini.”

Melangkah turun dari kereta, Tengku Adnan atau Ku Nan diberi ucapan salam.

Salam disahut dan kata Tengku Adnan, “Apa khabar semua?”

Hari Penamaan Calon PRU15 di Putrajaya berjalan lancar dan tenang tanpa adanya insiden atau provokasi yang ditimbulkan oleh para penyokong parti.

Selama sejam, 9 hingga 10 pagi, borang-borang pencalonan diserahkan kepada Pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Calon-calon selain BN (Tengku Adnan) dan PN (Radzi Jidin) yang bertanding kerusi Parlimen Putrajaya ialah Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, 45 dari PH dan Datuk Rosli Ramli, 64, dari Pejuang.

Samsudin Mohamad Fauzi dan
Lim Fice Bee adalah calon-calon Bebas. – SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button