NasionalPolitik

Ku Li PM, Anwar Ibrahim TPM demi rakyat dan negara – Ibrahim Ali

PRESIDEN Parti PUTRA Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali menyarankan agar Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) diberikan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, saranannya itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kata Ibrahim lagi, cadangan yang dilontarkan oleh beliau adalah demi merungkai kecelaruan politik yang melanda negara masa kini.

“Apabila celaru politik diselesaikan, kecelaruan rakyat juga terungkai sama dan apa yang dicadangkan di atas adalah formula PUTRA untuk menyelesaikan masalah dalam negara hari ini,” katanya ketika tampil sebagai tetamu undangan Live SUARA MERDEKA hari ini.

Ibrahim menegaskan, cadangan beliau Ku Li dan Anwar itu adalah penyelesaian jangka pendek dalam usaha untuk menstabilkan keadaan politik di Malaysia.

Katanya lagi, seharusnya pemimpin-pemimpin parti-parti politik mengenepikan ketidakbersamaan demi rakyat dan negara.

Apatah lagi negara diletakkan di bawah darurat sehingga Ogos, maka ujar Ibrahim lagi, adalah tidak wajar untuk dibuat pilihan raya umum.

Pengumuman darurat oleh Muhyiddin baru-baru ini, kata Ibrahim lagi, adalah sekadar memanjangkan tempoh kerajaan hari ini untuk mentadbir negara.

Sedangkan, jelas Ibrahim, Muhyiddin sudahpun hilang sokongan majoriti selain daripada pengumuman darurat kali ini lebih kepada menggantung Parlimen.

“Sekarang apa yang diperlukan ialah lantikan Perdana Menteri yang baharu dan kuasa itu ada pada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.

“Tuanku boleh melantik dan Perdana Menteri dan Timbalan ada tempoh dua tahun untuk mentadbir negara sebelum sampainya tempoh pilihanraya umum pada 2023,” kata Ibrahim.

Selain itu, katanya, sudah tiba masanya Malaysia mengadptasi dan mengamalkan sistem dua parti sebagai pentadbir negara.

Jelas beliau, sistem dua parti itu dirujuk kepada amalan Amerika dan United Kingdom. –  SM

(Visited 3,077 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button