Nasional

KTMB permudahkan pelanggan: perkenal kios tiket layan diri tanpa tunai

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah baik sistem jualan tiket dengan memperkenalkan kios layan diri tanpa tunai bagi perkhidmatan tren kendaliannya.

Sistem baharu ini diperkenalkan selepas KTMB memperkenalkan sistem pembelian tiket dalam talian atau secara online.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, mulai 15 Oktober lalu, orang ramai kini boleh membeli tiket tanpa tunai melalui mesin baharu yang diperkenalkan.

Katanya, tiket-tiket adalah untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar dan KTM Komuter di wilayah utara.

“Keistimewaan kios baharu menggunakan KTMB Integrated Ticketing System (KITS) itu akan memudahkan pengguna membeli tiket dengan kad kredit, kad debit dan sebagainya.

“Kaedah baharu ini adalah tambahan kepada sistem pembelian tiket KITS sedia ada iaitu pembelian melalui kaunter, secara dalam talian dan menggunakan aplikasi KTMB Mobile,” katanya.

Ahmad ‘Asri berkata, semua tambang konsesi juga boleh dibeli melalui kios layan diri berbanding sebelum ini yang memerlukan para pelanggan berurusan di kaunter.

“Pelanggan hanya perlu mendaftar melalui aplikasi KITS atau di laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my bagi menikmati diskaun tambang yang ditawarkan,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, pembelian tiket komuter di mesin baharu itu hanya boleh digunakan untuk perkhidmatan tren itu di wilayah utara iaitu dari stesen Padang Rengas, Perak hingga ke Butterworth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis.

“Setakat ini, kios jualan tiket perkhidmatan komuter di Lembah Klang masih menggunakan mesin jualan tiket layan diri berasaskan sistem token dan tunai,” jelas Ahmad ‘Asri.

Sementara itu, Ahmad ‘Asri juga berkata, hanya lapan perkhidmatan ETS yang akan beroperasi setiap hari mulai 14 sehingga 27 Oktober ini berbanding 32 perkhidmatan sebelum ini.

Perubahan ini, katanya, adalah  berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jelas beliau lagi, perkhidmatan itu melibatkan perjalanan di antara Stesen Gemas, KL Sentral, Ipoh, Butterworth dan Padang Besar. – SUMBER BERNAMA – SM

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button