Nasional

Krisis air: 50 peratus akaun seluruh Selangor pulih tengah malam esok

MENJELANG tengah malam esok dijangka hanya 50 peratus akaun pengguna di seluruh Selangor akan pulih.

Perkara itu diberitahu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyasarkan angka itu berdasarkanm kerja-kerja pemulihan yang giat dilakukan.

Keutamaan katanya adalah hospital dan premis-premis kesihatan seperti pusat dialisis.

“Alhamdulillah, anggaran Air Selangor menjelang tengah malam esok 50 peratus akaun di seluruh negeri akan pulih.

“Hospital dan pusat dialisis antara yang menjadi keutamaan saat ini supaya dalam tempoh pemulihan ini kesan gangguan air dapat diminimumkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat pelaporan penuh situasi semasa isu pencemaran air dengan pelbagai agensi berkaitan, hari ini.

Katanya, beliau telah membincangkan langkah jangka panjang menyelesaikan gangguan air bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak.

“Selain daripada penyitaan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta tangkapan oleh PDRM, LUAS dengan kerjasama JAS akan turut meluaskan ‘tracking’ bau ke Sungai Sembah.

“Ini bagi melengkapi usaha yang sudah dilakukan di 53 premis sekitar Sungai Gong bagi mendepani jangkaan masalah yang sama daripada berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sejak semalam kira-kira lima juta penduduk di Lembah Klang terjejas ekoran gangguan bekalan air di tujuh wilayah yang berpunca daripada pencemaran di Sungai Gong yang menjadi punca sumber air mentah.

Krisis itu dijangka mengambil masa empat hari untuk dipulihkaan.

Ini bukan kejadian pertama penutupan loji penapisan air ekoran pencemaran sungai kerana pada Mac lalu tragedi yang sama berlaku ekoran pencemaran di Sungai Selangor yang berpunca daripada kilang haram. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button