Nasional

Polis siasat individu penyokong ahli politik hina Nabi Muhammad

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung tular video mengenai aplikasi Tik Tok individu yang menyokong ahli politik dari India yang menghina Nabi Muhammad baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini berkata rakaman pengguna TikTok @gangarammahato280 menunjukkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves.

“Video berdurasi satu minit 18 saat itu mendapat 16,000 tontonan, 52 suka dan 302 komen dan turut dikesan di aplikasi media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp.

“Ia berkaitan dengan pergerakan ‘Hindu Samachar’ serta tindakan seorang ahli politik dari Parti Bharatiya Janata – Nupur Sharma – yang mengeluarkan kenyataan menghina itu,” katanya sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyentuh sensitiviti agama dan kaum, dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang sengaja berbuat demikian.

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button