Politik

Lokman sokong Apandi letak jawatan

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyokong tindakan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Apandi Ali meletak jawatan berikutan pembatalan prosiding lembaga berkenaan terhadap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Lokman, tindakan Presiden mengarahkan prosiding itu dihentikan adalah tidak wajar kerana badan berkenaan sepatutnya bebas daripada campur tangan.

“Saya menyambut baik keputusan yang dibuat oleh, Tan Sri Apandi Ali yang telah mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO berkuatkuasa serta merta sebaik sahaja Presiden UMNO mengarahkan agar proceding tunjuk sebab Lembaga Disiplin UMNO ke atas Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein dihentikan.

“Tindakan menghentikan prosiding ke atas Datuk Seri Hishammuddin yang telah melanggar berberapa peraturan parti termasuk menghasut Kepimpinan UMNO Sabah untuk meninggalkan UMNO dan menyertai PPBM secara beramai-ramai bukan hanya berlaku sekali, tetapi 3 kali termasuk Proceding yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Lembaga Disiplin UMNO sepatutnya adalah sebuah badan bebas yang tidak boleh disekat daripada menyiasat sesiapa sahaja tanpa dihalang termasuk oleh Presiden Parti. Tindakan Presiden UMNO ini jelas bercanggah dengan Perlembagaan parti dan menghina kedudukan Pengerusi dan Lembaga Disiplin Parti,” kata Lokman dalam kenyataan di Kuala Lumpur, petang ini.

Keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Apandi Ali, kata beliau jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang berprinsip dan mementingkan maruah diri daripada jawatan dalam parti.

“Jika UMNO serius ingin menggantikan kerajaan Haprak Pakatan Harapan, UMNO perlu melahirkan lebih ramai pemimpin yang mempunyai sikap terpuji sebegini.

“Kita tidak perlukan pemimpin yang cuba menutup kes mereka yang melanggar disiplin parti. Cukup sudah Tommy Thomas seorang yang melakukan kerja-kerja mengugurkan kes pimpinan Pakatan Harapan, jangan pula ada Tommy Thomas di dalam UMNO,” katanya.

Kata Lokman, inilah masa yang paling sesuai untuk mengambil tindakan kepada mereka yang mahu mengkhianat perjuangan suci ini dan harapan rakyat Malaysia.

“Sebarang langkah untuk menyapu kes Hishammuddin di bawah karpet atas alasan mahu memastikan MP-MP UMNO kekal bersama dan untuk membuat keputusan secara en-block jelas membuktikan bahawa ada perundingan sedang berlaku untuk membentuk kerjasama dengan PPBM. Apa sudah jadi dengan janji tidak mahu mewujudkan Kerajaan Pintu Belakang?” katanya.

Apandi Ali hari ini mengumumkan letak jawatan susulan dakwaan campur tangan pimpinan parti terhadap siasatan dan pengadilan tuduhan salah laku bekas naib presiden Hishammuddin Hussein.

Apandi berkata beliau letak jawatan serta merta kerana tidak mahu terus menjadi “kuda tunggangan politik”.

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button