Politik

Tok Mat seru perbaharui iltizam jadikan UMNO berwibawa

Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak seluruh kepemimpinan dan ahli UMNO mensyukuri segala rencana Allah SWT untuk parti itu dengan menjadikan UMNO lebih baik, berwibawa dan beramanah.

Justeru, Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat menyeru supaya ulangtahun ke-74 UMNO esok digunakan untuk memperbaharui iltizam kepada UMNO.

Kepada orang Melayu, kata beliau, UMNO telah menjadi instrumen kemerdekaan, wadah pembaharuan, kerajaan yang berjasa dan gerakan kebaikan yang luar biasa.

UMNO juga telah meletakkan bangsa Melayu dalam kedudukan berkepentingan, berpengaruh dan berkesejahteraan.

Namun, menurutnya, UMNO jauh dari sempurna dan ada khilaf, justeru kerana lumrah sifatnya yang tidak sempurna itulah perlunya diperbaharui iltizam berkenaan.

“Iltizam untuk tidak pernah jemu kepada pembaharuan dan pembaikan UMNO.

“Iltizam untuk tidak menjadikan UMNO tambatan kuasa, kekayaan dan kepentingan peribadi.

“Iltizam untuk menjadikan UMNO ini parti kepada semua bangsa Melayu dan bukan hanya sebahagian elit tertentu. Iltizam untuk tidak mengulangi lagi segala kesalahan lepas yang menghakis keyakinan bangsa dan rakyat.

“Iltizam untuk benar-benar menjadi suara yang sebenar kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Tiada yang keramatnya tentang UMNO ini, tetapi yang pasti ialah orang Melayu dan Malaysia tidak boleh tidak mempunyai UMNO dalam politiknya,” kata beliau dalam Facebook milik beliau malam ini.

Mohamad menarik perhatian betapa perjalanan hayat UMNO itu benar-benar rahsia Tuhan.

Pada Mei 2018, kata beliau, sewaktu UMNO tewas dalam pilihan raya umum ke-14, pelbagai pihak telah mentalkinkan UMNO.

Terngiang-ngiang lagi ucapan beberapa tokoh tertentu yang mengatakan ‘UMNO telah mati’, ‘UMNO telah musnah’ dan ‘UMNO telah menemui akhirnya’.

“Hari ini, 11 Mei 2020, UMNO meraikan ulangtahunnya ke-74, menjadi sebahagian dari Kerajaan Perikatan Nasional dan membentuk kerjasama politik Muafakat Nasional dengan seteru politik tradisionalnya, PAS,” katanya.

Mohamad berkata, Allah telah menguji UMNO dengan kemenangan dan kekalahan.

Dengan izin Allah juga, kata beliau, UMNO terus berkelangsungan di sebalik segala kebaikan dan kelemahan kita.

“Marilah kita mensyukuri segala rencana Allah untuk UMNO dengan menjadikan UMNO ini lebih baik, berwibawa dan beramanah.

“Ia adalah sang belahan jiwa yang harus di jaga dan dipelihara dengan sebaik-baik penjagaan. UMNO adalah amanah dari pendiri bangsa kepada generasi penerus. Kita hanya menjadi perantara, maka jadilah kita perantara yang terbaik,” katanya.

Kata Mohamad:
“Akhirnya, renunglah pesan pendirinya UMNO, Almarhum Datuk Onn Jaafar: Kita hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita; jangan sampai orang lain mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan”.

“Kita semua pasti mengerti maksudnya. Selamat Hari Ulangtahun UMNO!!!.” –  SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button