Nasional

KPN-UPSI bekerjasama perkasa pendidikan awal kanak-kanak Tabika Perpaduan

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Jumaat lalu bagi memperkukuh, menggalak dan membangunkan kerjasama dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak Tabika Perpaduan.

1352 orang Guru TADIKA Swasta seluruh Malaysia sudah bergraduat dengan Diploma PAKK UPSI selaras dengan kehendak kerajaan Malaysia di bawah Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSI – Marzita.

Menurut Ketua Setiausaha KPN, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, kerjasama ini bakal menyaksikan pengukuhan pendidikan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) berlandaskan Rukun Negara selain pengukuhan program-program perpaduan dan nilai-nilai murni dengan sasaran lebih 37,012 orang murid di 1,781 buah Tabika Perpaduan seluruh negara.

“KPN bekerjasama erat bersama pihak UPSI khususnya di dalam pemerkasaan dan pemantapan program-program Tabika Perpaduan menerusi penghasilan Buku Pendidikan Rukun Negara, Buku Aktiviti Murid Tabika Perpaduan, Program Senam Harmoni, Kursus Penghayatan dan Pengamalan Rukun Negara serta pembentukan modul bagi Kursus Asas Pendidikan Awal Kanak-Kanak Guru serta Penolong Guru Tabika Perpaduan,” katanya semasa berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City hari ini.

Pendekatan Science, Technology, Relation, Engineering, Art and Mathematics (STREAM) akan turut diperkenalkan di Tabika Perpaduan – Noridah

Menurut Noridah, beberapa inisiatif akan dibangunkan oleh KPN bersama Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI secara bersama, antaranya pembangunan video interaktif Komunikasi Asas Pelbagai Bahasa, memantapkan kaedah PdP Tabika Perpaduan melalui kaedah pengajaran yang menarik di bawah program i-Fikir, serta mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat di dalam pembelajaran melalui program Genius ICT dan i-Pintar.

Selain itu, katanya, modul PdP menggunakan kaedah pendekatan Science, Technology, Relation, Engineering, Art and Mathematics (STREAM) akan turut diperkenalkan di Tabika Perpaduan di mana program ini akan menggabungkan elemen keseronokan dan pembelajaran secara holistik yang merentasi semua tunjang pembelajaran kanak-kanak tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam kehidupan sesama insan.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Marzita Puteh berkata selaras dengan universiti pendidikan terulung di rantau ini, UPSI berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi reputasi dan keunggulan serta mengalu-alukan pelbagai kerjasama meningkatkan mutu pendidikan tanahair.

“Selaras dengan penetapan kelayakan akademik yang berkuatkuasa bermula pada tahun 2020, semua guru-guru TADIKA perlu mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak,”katanya.

Sehubungan itu, katanya, UPSI bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kolej MAHSA, memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bagi menjayakan Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK).

Menurut Marzita, seramai 1,352 orang Guru TADIKA Swasta seluruh Malaysia sudah bergraduat dengan Diploma PAKK UPSI selaras dengan kehendak kerajaan Malaysia di bawah Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSI.

“FPM menerusi Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak turut menandatangani MoU bersama tiga agensi swasta iaitu Global Link Sdn. Bhd, Pucuk Emas Little Caliphs International Sdn. Bhd dapat membangunkan kurikulum yang mapan dan berteraskan kehendak industri demi meningkatkan kebolehpasaran graduan,”

“Kerjasama ini juga diharapkan dapat mengukuhkan kaedah pengajaran dan pembelajaran berteraskan work based learning serta membangunkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak yang berasaskan kepada penyelidikan empirikal,” katanya.

Noridah (tengah, belakang) menyaksikan sesi MoU yang disempurnakan Marzita (duduk dua dari kiri) dan Ketua Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) Datuk Norison Ramli (duduk tiga dari kiri) di Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI Tanjong Malim.

Sementara itu Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataannya berkata kerjasama strategik ini sekali gus menjadi pemangkin yang berupaya menghimpunkan ahli akademik dan ahli industri bagi memulakan projek atau kerjasama yang berbentuk domestik serta antarabangsa serta sinergi budaya kolaboratif antara IPTA dan Industri dalam menyediakan pendidikan secara holistik.

“Kerjasama ini sekali gus memperkasakan kualiti program akademik PAKK di UPSI sebagai hub PAKK negara dalam menyediakan pedagogi yang seiring dengan keperluan semasa,” jelasnya. -SM

BACA JUGA : UPSI jalin kerjasama antarabangsa dengan universiti terbaik Kazakhstan

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button