Nasional

COVID-19 belum berakhir

JIKA berkekalan angka COVID-19 rendah seperti semalam, kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir pada 9 Jun ini tidak dilanjutkan oleh kerajaan.

Ia sekadar kemungkinan tetapi tidak mustahil jika rakyat Malaysia patuh kepada arahan dan prosedur operasi standard SOP yang telah diterapkan sejak 18 Mac lalu apabila negara kita tidak terkecuali dilanda wabak COVID-19.

Kekecohan pulang ke kampung walaupun dinasihatkan agar jangan berbuat demikian semakin reda termasuklah kekalutan pulang ke kampung untuk menyambut 1 Syawal lalu.

BERNAMA melaporkan, negara kita mencatat angka paling rendah kes positif baharu COVID-19 iaitu hanya 15 kes sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas.

Menariknya, jumlah kes baharu itu memperlihatkan penurunan yang sangat mendadak berbanding 187 kes positif kelmarin, yang sebahagian besarnya melibatkan individu bukan rakyat tempatan.

Melihat situasi ini, jelas memberi semangat dan harapan untuk negara ke arah segera bebas COVID-19, apatah lagi dengan bantuan barisan petugas hadapan yang  berusaha sedaya upaya untuk memutuskan rantaian penyakit membunuh itu.

Pun begitu, kerjasama rakyat juga sangat diperlukan untuk sama-sama meningkatkan disiplin dan kebersihan diri serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan sepanjang tempoh PKPB.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menzahirkan kebimbangan akan berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 yang sekali gus mengakibatkan gelombang baharu dalam negara sekiranya masyarakat leka, tidak patuh dan ingkar SOP.

KKM bimbang, jika berlaku peningkatan COVID-19 susulan pergerakan orang ramai melalui aktiviti kunjung-mengunjung, rentas negeri, dan pergaulan dalam kalangan masyarakat, semasa sambutan Aidilfitri.

Masyarakat yang kini diberikan sedikit kebebasan dengan PKPB perlu berwaspada, dan tidak mengambil mudah situasi penurunan kes yang berlaku semalam, kerana peperangan menghadapi virus COVID-19 masih belum tamat.

Begitu juga mengenai wabak maut ini yang dibawa tanpa simptom, iaitu kelesuan dan hilang deria bau serta rasa,yang kini termasuk dalam gejala COVID-19 tidak nyata.

Oleh itu, janganlah memandang ringan akan ancaman yang dibawa pandemik ini dan cepat-cepatlah mengambil langkah sewajarnya jika berasa badan tidak sihat.

Justeru sebagai rakyat, laksanakanlah tanggungjawab untuk sama-sama memerangi pandemik ini.

Jangan sia-siakan setiap usaha dan titisan keringat barisan petugas hadapan, yang bekerja tanpa mengira penat lelah sejak awal pandemik COVID-19 menular dalam negara, dan semua pihak patut mengambil tanggung jawab masing-masing. – BERNAMA-SM

 

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button