Nasional

KPLB peruntuk RM80 juta untuk Dasar Keselamatan Makanan Negara

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensi di bawahnya iaitu RISDA dan Felcra Berhad memperuntukkan sejumlah RM 80 juta untuk menjamin bekalan makanan dan sekuriti makanan negara agar terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar berkata, menerusi peruntukan tersebut, agensi-agensi KPLB ini akan mengambil inisiatif untuk memperkembangkan dan mengukuhkan gedung makanan utama negara terutama dalam industri penternakan dan perladangan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah memberikan keyakinan kepada FELCRA Berhad untuk melaksanakan projek ternakan berjumlah RM60juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi menjalankan aktiviti ternakan ayam pedaging secara sistem tertutup”, ujar beliau.

Beliau menambah, Felcra Berhad dijangka mampu menghasilkan sebanyak 600 ribu ekor ayam daging bagi satu pusingan atau setiap 35 hari sekaligus menjadikan FELCRA Berhad sebagai salah satu pemain utama industri penternakan ayam pedaging secara sistem tertutup dengan skala besar di Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

“Projek yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad ini dengan pengeluaran ayam berkualiti dan halal selain menyediakan dan membuka peluang pekerjaan selain merancakkan industri dan perniagaan berasaskan ayam pedaging.

Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar Malaysia, purata keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ekor ayam sehari, atau 62.9 juta ekor ayam sebulan.

“RISDA pula menerima peruntukan berjumlah RM 20 juta bagi Program Agromakanan melibatkan seramai 1,000 orang peserta di seluruh negara.

Program Agromakanan merupakan strategi pembangunan untuk mengoptimumkan penambahan pendapatan pekebun kecil sama ada secara individu atau berkumpulan dan dalam masa yang sama memastikan bekalan makanan negara berada pada tahap yang selamat.

“Bagi memenuhi keperluan keperluan daging lembu di Malaysia pula, RISDA menerusi syarikat milikannya RISDA Livestock Sdn. Bhd. (RLSB) telah melaksanakan integrasi fidlot ternakan lembu bagi meningkatkan keluaran daging tempatan berstatus halal.

Selaras untuk menyokong dasar keselamatan makanan negara, RLSB menyasarkan sebanyak 6,000 ekor lembu dapat diproses bagi menampung keperluan makanan negara pada tahun ini dan akan dipertingkat kepada 10,000 ekor setahun sekaligus mengurangkan kebergantungan sumber bekalan daging import”, ujar Abdul Rahman lagi.

Menerusi Program Agromakanan 2022 hingga 2030, RLSB mensasarkan peningkatan pengeluaran daripada kadar 7% kepada 30% kadar pengeluaran daging negara.

“Selain itu, RLSB juga bersedia untuk mengimport daging dari luar negara bagi memenuhi keperluan makanan untuk rakyat Malaysia selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri berhubung pemansuhan permit import (AP) bekalan makanan untuk negara.

Beliau berkata demikian pada Program Komuniti Sejahtera Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri 1 KPLB dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Lipis di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiusaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua-Ketua Jabatan Agensi KPLB.

Selain itu juga, beliau menambah pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh agensi di bawah KPLB ini bagi menyokong dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Abdul Rahman berkata, antara projek yang dilaksanakan adalah Projek Tanaman Fertigasi yang dijadikan sebagai aktiviti penambahan pendapatan peserta kepada Pertubuhan Wanita Dinamis FELCRA (WADIRA) dan golongan belia.

“Setiap pertubuhan ini akan menerima insentif berbentuk start-up grant serta konsultansi.  Projek ini turut memfokuskan kepada pembekalan keperluan makanan kepada masyarakat setempat membuka peluang pekerjaan.

Projek yang telah dilaksanakan bermula tahun 2019 ini akan dilaksanakan secara lebih komprehensif dan dilaksanakan di seluruh Malaysia. Sehingga kini, projek ini telah memberikan impak positif di mana 35 buah projek telah membuahkan hasil dan beroperasi tanpa gagal”, ujar Abdul Rahman.

“Di antara projek-projek yang mampu berdaya saing serta mempunyai kadar penghasilan bekalan makanan  adalah projek Tembeling Tengah, Durian Hijau, Sri Makmur Dan Pahang Tenggara, yang ditanam dengan tanaman timun, cili besar, cilia api dan halia dengan purata hasil bagi projek tersebut adalah di antara RM10,000-RM12,000.00 per projek”, ujar beliau lagi.

Tambah Abdul Rahman lagi, KPLB turut menyediakan latihan dan kursus jangka pendek untuk orang ramai menceburi bidang pertanian seperti Kolej Universiti Agrosains Malaysia di bawah RISDA selain institusi lain di bawah agensi KPLB. – SM

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button