Nasional

Raja Muda Perlis ingatkan semua patuhi nasihat KKM

Rakyat negeri Perlis diingatkan supaya jangan sekali-kali mengabaikan nasihat Kementerian Kesihatan supaya ‘Mengelakkan 3 C’ dalam kehidupan seharian masing-masing selagimana vaksin untuk wabak berbahaya Covid-19 belum ditemui.

Harus juga disedari bahawa tahap risiko adalah berlainan dalam persekitaran yang berbeza. Terdapat tempat-tempat tertentu di mana COVID-19 boleh tersebar dengan lebih mudah dan seterusnya boleh mengancam hingga kehilangan nyawa.

Pertama : Tempat Sesak (Crowded Places) dengan ramai orang berdekatan.

Kedua : Berhubung secara rapat (Close-Contact Settings) terutamanya di mana memerlukan seseorang berbual secara dekat.

dan

Ketiga : Tempat yang sempit dan tertutup (Confined And Enclosed Spaces) dengan pengudaraan yang kurang baik.

Risiko akan menjadi lebih tinggi pada kawasan di mana ketiga-tiga faktor ini bertindih.

Walaupun sekatan telah ditarik balik, namun pertimbangkanlah terlebih dahulu ke mana anda akan pergi dan #StaySafe dengan mengelakkan ‘3 C’ ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas memperkenankan agar ‘Kejohanan Sukan Antara Agensi Agama Islam Perlis (SUKIPS) Kali Ke-4’ ditangguhkan penganjurannya pada tahun ini.

Yayasan Islam Negeri Perlis (YIPs) selaku perbadanan ekonomi bagi menguruskan hal ehwal ekonomi orang Islam yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Perlis telah terpilih mengikut gilirannya sebagai hos penganjuran kejohanan yang akan dipertandingkan sepanjang tempoh tiga bulan terakhir tahun 2020 ini.

Namun begitu, atas sebab keadaan serta situasi semasa yang sedang melanda seluruh dunia iaitu pandemik wabak COVID-19 bilamana kebanyakan majlis serta acara-acara sukan yang dirancang telah terpaksa ditangguh atau dibatalkan bagi mematuhi segala perintah Kerajaan untuk keselamatan dan kebaikan semua.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Penaung SUKIPs telah memperkenakan cadangan pihak pengurusan YIPs yang dipersembahkan melalui Pemangku Pengarahnya, Noorhamizi Mohd Yaacob untuk menangguhkan penganjuran kejohanan berkenaan kali ini ke tahun 2021 bergantung sepenuhnya kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Antara agensi yang terlibat dalam SUKIPs ialah MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) Perlis yang juga merupakan juara keseluruhan bertahan temasya ini, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan YIPs sendiri. – SM

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button