Nasional

Prof Ismail Zainol komersial produk sisik ikan jana pendapatan UPSI

PRODUK hasil penyelidikan ahli akademik di universiti berpotensi untuk dikomersialkan, namun memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak, terutamanya universiti, kerajaan, industri dan pengguna.

Sempena majlis Syarahan Perdana Pelantikan Profesor semalam, Prof. Ts. ChM. Dr. Ismail Zainol dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata hasil penyelidikan akademiknya berjaya mencetuskan idea memanfaatkan sisik ikan untuk penggunaan masyarakat mengambil masa hampir 20 tahun.

Prof Ismail Zainol menyampaikan Syarahan Perdana

Antara produk yang telah berjaya dikomersilkan adalah teknologi pengekstrakan kolagen bersama Hospital Islam Az-Zahrah dan hidroksiapatit untuk penapis air bersama Hijrah Water Sdn. Bhd.

Prof Zainol dalam syarahannya yang bertajuk “Fish Scales as Biomaterials: A Journey from Academic Research to Commercialization” itu menyentuh tentang tempoh masa yang lama dan komitmen kewangan yang tinggi sebelum sesuatu produk boleh dikomersilkan.

“Penggunaan sisik ikan sebagai biobahan ini menjadi alternatif kepada pengguna Muslim yang mencari produk halal dan patuh Syariah”, katanya.

Menurut Ismail, kolagen berpotensi digunakan dalam kosmetik, makanan tambahan, wound dressing dan kejuruteraan tisu, manakala hidroksiapatit sesuai untuk pengisi tulang, bahan salutan dan ubat gigi.

Beliau berkata hidroksiapatit yang dihasilkan daripada sisik ikan sangat menyerupai tulang haiwan atau HAp sintetik, kecuali ia mengandungi lebih beta trikalsium fosfat, menjadikannya mudah larut di dalam air.

Syarahan Perdana Pelantikan Profesor itu disampaikan beliau di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI dan turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Live dan Saluran YouTube UPSI.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli .

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya menyatakan, majlis Syarahan Perdana Pelantikan Profesor adalah majlis yang dilaksanakan khas untuk pegawai akademik yang dilantik ke jawatan profesor.

Antara tetamu yang menghadiri majlis Syarahan Perdana Pelantikan Profesor oleh Prof Dr Ismail Zainol.

“Matlamat utama majlis ini adalah bertujuan untuk menyalurkan pengetahuan tokoh-tokoh akademik UPSI kepada warga universiti.

Beliau turut menggalakkan ahli akademik UPSI untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan mereka tidak kira bidang kepakaran sama ada Sains mahupun Sains Sosial.

Dekan FSM, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah membacakan biodata Prof. Ts. ChM. Dr. Ismail Zainol dan pencapaian beliau dalam bidang penyelidikan, pengkomersialan, penyeliaan pelajar, penerbitan dan perundingan. -SM

Baca : UMAM di Perlis tawar lima pengajian Doktor Falsafah

(Visited 167 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button