MahkamahNasional

“Ustaz Budak” dihadap ke mahkamah laku kelucahan melampau

SEORANG ustaz yang juga pengusaha madrasah di Kelantan yang lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Budak’ hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel, Rabu lalu.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan, Syamsul Zaman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun termasuk mencium pipi mangsa pada pukul 1.15 pagi,  16 Disember lalu di sebuah bilik hotel.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Atikah memohon jaminan minimum ditawarkan kerana tertuduh yang juga pengusaha madrasah di Machang perlu menguruskan 150 pelajar.

“Pendapatan tertuduh hanya RM2,500 hingga RM3,000 sahaja selain perlu menanggung ibu yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan enam adik-beradik dengan ada yang masih bersekolah,” katanya.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes pada 21 Januari tahun depan untuk serahan dokumen. – SM

(Visited 1,383 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button