Nasional

Pesuruhjaya Tinggi Australia teruja sertai program kayuhan bersama Raja Muda Perlis

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, TYT Andrew Goledzinowski menzahirkan rasa terujanya berkesempatan menyertai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 74 bagi tahun 2019 pada isnin petang baru-baru ini.

Bagi TYT Goledzinowski, program kayuhan murni berkenaan yang difahamkan bermula sejak tahun 2013 lagi adalah amat unik kerana beliau dapat melihat sendiri bagaimana seorang putera mahkota yang mendapat sokongan padu daripada ketua-ketua jabatan dan pihak swasta berhubungan dan meluangkan masa mendengar rintihan rakyat jelata yang memerlukan dengan penuh ikhlas untuk cuba membantu.

Beliau juga amat gembira dapat berbual dengan masyarakat setempat malah diundang memasuki beberapa buah rumah kampung termasuklah sebuah di antara lebih daripada 2,000 buah rumah standard dengan desain yang terkini yang disumbangkan oleh pihak MAIPs kepada golongan asnaf di negeri ini sejak tahun 2013.

Demikian menurut TYT Goledzinowski di akhir program kayuhan sejauh 6km anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenaan yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Darul Ibadah Padang Behor, Behor Pulai, Kangar dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Beliau diiringi isteri, Lyn Allan dan Setiausaha Pertama di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur iaitu James Bryan yang mengadakan lawatan kerja yang padat dengan program ke negeri Perlis selama dua hari.

Puan Allan teruja dengan kesempatan menyertai program berbasikal ini kerana walaupun dalam masa yang singkat dapat berinteraksi dengan pelbagai peringkat dan latar belakang masyarakat setempat bermula daripada kalangan kerabat DiRaja, ketua-ketua jabatan, akademia, pihak swasta, pemimpin kampung dan sehinggalah menyantuni warga asnaf terpilih termasuk yang berusia, OKU dan juga sakit terlantar.

Bryan yang baru sahaja berpindah ke negara ini dua bulan yang lalu dan ini merupakan lawatan kerja rasmi beliau yang pertama di luar Kuala Lumpur turut memuji keindahan alam semulajadi dan juga keramahan rakyat Perlis yang merupakan di antara aset besar negeri ini.

Ketika singgah di salah sebuah rumah terbabit, TYT Goledzinowski dan Puan Allan tidak melepaskan peluang untuk mengipas satay yang diusahakan oleh salah seorang penerima sumbangan projek pembangunan sosio-ekonomi asnaf MAIPs.

(Visited 62 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button