Berita

Mana yang ‘perkauman’ dalam ucapan Naib Canselor UM?

1. GRADUAN Universiti Malaya (UM) yang biadap tempoh hari, Wong Yan Ke mendakwa Naib Canselornya, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim membuat ucapan perkauman (https://www.facebook.com/wong.y.ke/posts/2831982853479936). Dalam tulisan panjangnya itu, didapati tiada satu pun bahagian yang memetik ayat ucapan mana yang bersifat perkauman seperti yang didakwanya.

2. Untuk lebih adil, tonton klip video ucapan Naib Canselor UM atau rujuk lampiran transkrip ucapan seperti yang dilampirkan di bawah. Didapati, tiada satu pun unsur menyerang kaum lain. Yang ada ialah pernyataan kelemahan pencapaian orang Melayu/Bumiputera dan seruan penyatuan.

3. Dalam teknik propaganda, ini dinamakan Pemesongan Orang-orangan (Strawman Fallacy). Suatu tuduhan yang direka-reka, kemudian orang ramai diajak untuk menumpu dan menyerang hal itu. Ia kemudian meleret dan berlanjutan, bertitik tolak daripada hal yang terpesong dan tidak benar.

4. DAP gemar menggunakan kaedah ini. Istilah ‘penyatuan Melayu’ diprojekkan dengan tanggapan perkauman. Malah, menyebut ‘Melayu’ itu semakin jadi sensitif.

5. Semalam kami telah dedahkan bukti-bukti graduan terbabit dan rangkaiannya diasuh oleh DAP (https://www.facebook.com/korekmalaya/posts/2358716564457843). Rekod menunjukkan banyak kes parti politik menjadikan siswa sebagai bidak catur untuk kepentingan politik mereka.

6. Semalam pemuda DAP (DAPSY) beria-ia campur tangan dan mendesak Naib Canselor UM meletak jawatan (https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/10/15/dap-youth-um-vice-chancellor-must-resign-for-failing-to-carry-out-duty-fair/1800595). Antara sebabnya, Naib Canselor tersebut bertanggungjawab menganjur Kongres Maruah Melayu yang DAP dakwa sebagai perkauman.

__________

Ikuti transkrip ucapan Naib Canselor Universiti Malaya dalam Kongres Maruah Melayu, 6 Oktober 2019

…..(Kata-kata aluan)….

1. Kongres yang dianjurkan secara bersama oleh empat buah universiti, mempunyai satu matlamat utama iaitu menyatukan orang Melayu bagi mengangkat semula kegemilangan umat Melayu di negara ini

2. Usman Awang pernah berkata “Melayu itu pengembara lautan, melorongkan jalur sejarah zaman. Begitu luas daerah sempadan. Begitulah hebatnya Melayu. Merentas samudera, meneroka dunia.”

3. Tetapi, setelah 62 tahun merdeka, adakah kita masih menjadi bangsa yang diangkat maruahnya, dihormati kehebatannya. Tentu tuan-tuan bertanya-tanya, mengapakah kita berada di sini.

4. Hadirin dan hadirat sekalian. Setahun yang lalu, berlaku peralihan tampuk kepimpinan negara. Maka lahirlah harapan orang Melayu untuk melihat masa depan yang lebih terjamin. Malangnya, peralihan ini disulami perpecahan politik Melayu, sehingga menghilangkan dominasi politik Melayu.

5. Lebih parah lagi, selepas 62 tahun menikmati kemerdekaan, ekonomi orang Melayu masih ibarat melukut di tepi gantang. Ekuiti korporat Melayu/Bumiputra sekadar 23.4%. Manakala bukan Bumiputra memegang 34.8% dan ekuiti asing 37.2%. Ini menunjukkan sasaran Dasar Ekonomi Baru masih belum tercapai.

6. Bukan itu sahaja. Jurang pendapatan isi rumah juga makin melebar, dengan jumlah pendapatan Melayu Bumiputra 3.5 kali ganda lebih rendah berbanding kaum Cina bagi purata Malaysia pada tahun 2016.

7. Dunia pendidikan pula semakin mencabar. Pendidikan kebangsaan disaingi oleh pendidikan berasaskan kaum. Bahasa Melayu bukan lagi tonggak sehinggakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercabar. Malahan, akhir-akhir ini, hak keistimewaan Melayu, agama Islam, institusi raja, mulai dipersoalkan satu-persatu.

8. Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian. Bukankah kuasa politik itu seharusnya milik kita. Bukankah hasil-mahsul negara ini sepatutnya memakmurkan kita. Bukankah pendidikan itu boleh menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia. Bukankah hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sepatutnya sudah selesai.

9. Justeru itulah, berdasarkan soal-soalan yang dibangkitkan, Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya, bersama dengan Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi Mara, bergabung tenaga bagi meneliti keresahan dan kegusaran orang Melayu/Bumiputra.

10. (Penerangan tentatif pembentangan dan penyerahan resolusi)

11. Kami berharap, dapatan kongres ini menjadi ikrar penyatuan tanpa mengira latar ideologi, demi maruah dan masa depan orang Melayu.

12. Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian. Selaku Pengerusi Penganjuran Kongres Maruah Melayu, saya amat gembira melihat sambutan luar biasa yang diberikan kepada kongres ini atas nama perpaduan Melayu. Ini menunjukkan Melayu Islam di negara ini mampu bersatu demi perpaduan bangsa dan kemajuan negara. Dalam konteks negara ini, adalah mustahil kemajuan dapat dicapai tanpa penglibatan kelompok majoriti di kalangan anak negeri.

13. (Ucapan terima kasih dan penghargaan)

14. Semoga Allah S.W.T. memberi kekuatan kepada kita untuk terus mengangkat maruah melayu di negara ini demi memartabatkan Melayu/Bumiputera, Melayu Islam dan membangunkan negara ini bersama kaum-kaum lain.

(Visited 96 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button