Politik

Mukhriz Mahathir letak jawatan MB Kedah buat kali kedua

DATUK Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan peletakan jawatan menteri besar Kedah ke-13 hari ini.

Mukhriz pada sidang medianya di Wisma Darul Aman, juga mengumumkan peralihan kuasa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Kedah serta kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turut tergugur.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beralih menyokong Perikatan Nasional awal minggu ini.

Mukhriz mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila dua kali menjadi Menteri Besar Kedah dan dua kali juga beliau tidak mendapat kepercayaan ADUN sehingga terpaksa meletakkan jawatan.

Pada 6 Mei 2013, Muhkriz mengangkat sumpah Menteri Besar selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 di bawah bendera Barisan Nasional.

Bagaimanapun beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut pada pada 3 Februari 2016 selepas berkrisis dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mukhriz kembali menjadi Menteri Besar Kedah selepas menang Pilihan Raya ke-14 pada Mei 2018 di bawah bendera Pakatan Harapan.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada Bersatu.

Ketua Pembangkang yang juga ADUN Jeneri dari Pas, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU (Tun Dr Mahathir Mohamad – dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Perubahan komposisi itu berikutan tindakan ADUN Lunas dan Sidam iaitu  Azman Nasrudin dan Dr. Robert Ling Kui Ee bertindak meninggalkan PKR kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional.

Muhamad Sanusi dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesar Kedah yang baharu petang ini bagi menggantikan Mukhriz.

Kedah adalah negeri PH keempat tumbang selepas Johor, Melaka dan Perak berikutan pembentukan gabungan Perikatan Nasional (PN) apabila Bersatu keluar PH dan membentuk kerjasama dengan BN, PAS dan UMNO di peringkat persekutuan.-SM

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button