Luar Negara

Kes Covid-19 di Singapura sudah melebihi 17,000

SINGAPURA hari ini mengesahkan 932 lagi kes baharu jangkitan COVID-1 termasuk lima kes melibatkan warga tempatan atau penduduk tetap negara itu.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura memaklumkan ‘sebilangan besar’ kes hari ini adalah daripada penghuni asrama, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu meningkat kepada 17,101 kes.

Menurut MOH, perincian kes-kes tersebut sedang disediakan dan hasilnya akan dimaklumkan kemudian.

Dalam data terperinci yang dikeluarkan pada Khamis, MOH menyatakan semalam terdapat peningkatan dalam jumlah kes baharu dengan 31 kes dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama.

“Sebilangan besar kes ini adalah pekerja dalam sektor pembinaan yang memenuhi keperluan Notis Duduk di Rumah (SHN),” jelasnya seperti yang dilaporkan BERNAMA

Pada Khamis, terdapat 528 kes baharu, tiada kes import dilaporkan. Sembilan kes dalam komuniti manakala 488 penghuni asrama dan 31 di luar asrama.

Republik itu mengenal pasti 12 kluster baharu.

Kluster terbesar ialah S11 Dormitory @ Punggol yang setakat ini mencatatkan 2,449 kes yang disahkan.

Daripada 16,169  kes setakat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,201 daripadanya sebagai kes komuniti, 571 kes import dan 555 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Sementara itu, pekerja asing di asrama merupakan kira-kira 85 peratus atau 13,842 kes daripada jumlah keseluruhan.

Di India 72 lagi maut akibat COVID-19 selain 1,433 kes positif baharu dilaporkan sejak Jumaat, menjadikan jumlah kematian seramai 1,147 orang dan jumlah kes 35,043, lapor agensi berita Xinhua.

“Sehingga 8 pagi (waktu tempatan), hari ini 1,147 kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di negara ini,” menurut Kementerian Kesihatan pada Jumaat.

Pada Khamis petang, jumlah kes sebanyak 33,610 dan 1,075 orang maut manakala 8,889 pesakit discaj.

“Jumlah kes aktif setakat ini sebanyak 25,007,” menurut kementerian itu.

India mengumumkan sekatan pergerakan pada 25 Mac, yang dilanjutkan sehingga 3 Mei.

Pada masa sama kebanyakan negara Arab termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Maghribi dan Lubnan masing-masing mencatatkan peningkatan kes kematian dan jangkitan COVID-19, lapor agensi berita Anadolu pada Khamis.

UAE mencatatkan 552 kes baharu, keseluruhan 12,481 dengan tujuh lagi kematian menjadikan jumlah setakat ini 552 manakala 2,429 pesakit sembuh.

Kementerian Kesihatan Kuwait pula mengesahkan 284 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu, meningkat kepada 4,024.

Dua lagi pesakit maut menjadikan keseluruhan 26 orang.

Jumlah kes di Bahrain pula melepasi 3,000 pada Khamis.

Sebanyak 116 kes baharu, keseluruhan berjumlah 3,037, lapan kematian dan 1,495 pesakit pulih, menurut Twitter Kementerian Kesihatan.

Di Maghribi, jumlah kes sebanyak 4,359 pertambahan 38 lagi kes, 969 pesakit sembuh dan 168 kematian.

Kementerian Kesihatan Lubnan pula melaporkan empat kes baharu menjadikan jumlah kes 725, sementara angka korban kekal 24 orang.

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button