Nasional

KPKT pulihkan 166 projek perumahan swasta bagi tempoh Jan-April 2025

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 166 projek perumahan swasta yang bermasalah bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu telah mempengerusikan Mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bilangan 3 Tahun 2025 bagi meneliti kemajuan terkini pemulihan projek-projek perumahan swasta yang lewat, sakit dan terbengkalai di seluruh negara.

Katanya, sehingga 30 April 2025, TFST telah mengesan dan memantau sebanyak 233 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai lewat, 339 projek sebagai sakit dan 114 projek sebagai terbengkalai di seluruh negara.

“Berdasarkan perbandingan dengan data pada 31 Mac 2025 yang lalu, jumlah projek sakit telah mencatatkan penurunan daripada 360 kepada 339 projek, manakala projek lewat turut menunjukkan penurunan daripada
267 kepada 233 projek.

“Sementara itu, jumlah projek terbengkalai masih kekal sebanyak 114 projek. Secara keseluruhan, projek-projek ini melibatkan nilai pembangunan kasar (Gross Development Value – GDV) sebanyak RM101.98 bilion dan merangkumi 119,964 unit rumah,” katanya dalam kenyataan.

Secara keseluruhannya, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April 2025, TFST telah berjaya memulihkan sebanyak 166 projek perumahan swasta, melibatkan 19,205 unit rumah dengan GDV bernilai RM11.58 bilion.

Daripada jumlah tersebut, jumlah projek yang berjaya dipulihkan TFST bagi tempoh 1 April 2025 hingga 30 April 2025 ialah sebanyak 49 projek yang merangkumi 7,413 unit rumah dengan nilai GDV sebanyak RM3.96 bilion.

Daripada 49 projek yang berjaya ditangani pada bulan April 2025, sebanyak 45 projek telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC) dan empat (4) projek
sakit telah kembali menjadi projek yang lancar.

Bagi projek perumahan swasta terbengkalai melibatkan tempoh sehingga April 2025, sebanyak dua (2) projek (392 unit rumah) melibatkan GDV sebanyak RM50.76 juta telah berjaya dipulihkan sepenuhnya melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC dan penyelesaian pembeli. Projek terbengkalai yang berjaya
dipulihkan adalah seperti berikut:

i. Projek Perumahan Permatang Shahbandar, Maran, Pahang
ii. Projek Ibai Golf Home Resort, Kuala Terengganu, Terengganu

Menurut Aiman Athirah, pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa usaha bersepadu TFST bersama sokongan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Teknikal dan Agensi Penyedia Utiliti telah membuahkan hasil yang ketara. Ia juga selaras dengan agenda utama KPKT demi kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas.

”Sebanyak 36 projek perumahan swasta telah dilawati sepanjang tahun 2024. Sehingga 30 April 2025, sebanyak 11 lagi projek telah dilawati, menjadikan jumlah keseluruhan projek yang telah dilawati setakat ini ialah 47 projek.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 projek telah berjaya memperoleh CCC manakala baki 21 projek lain menunjukkan kemajuan kerja yang signifikan dan berada pada landasan yang baik untuk disiapkan mengikut jadual yang dirancang.

“TFST akan terus memainkan peranan utama sebagai platform penyelesaian dalam menangani isu projek perumahan swasta yang bermasalah dengan mengemukakan cadangan penyelesaian yang berkesan bagi melindungi kepentingan pembeli.

“Inisiatif ini selaras dengan matlamat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mencapai sifar projek terbengkalai menjelang tahun 2030.

“Usaha yang dilaksanakan bukan sahaja membuktikan keberkesanan intervensi kerajaan, malah turut  menunjukkan hasil yang positif menerusi kerjasama erat semua pihak berkepentingan demi memastikan hak pembeli rumah di negara ini terus dilindungi,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button