
KPKT peruntuk RM16 juta bina semua Pasar Pasir Pinji, Ipoh
KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan RM16 juta bagi pembinaan semula Pasar Pasir Pinji.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (YB KM) hari ini melawat Pasar Pasir Pinji, Ipoh bagi meninjau sendiri perkembangan pembinaan baharu pasar ini.
Pasar yang berusia lebih 50 tahun ini akan diberi nafas dan wajah baharu dengan reka bentuk yang moden sekaligus meningkatkan kualiti kemudahan pasar terbabit.
Selain daripada itu, pembinaan pasar baharu juga akan menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada para peniaga dan pengunjung.
Pembinaan semula Pasar Pasir Pinji meliputi kerja-kerja perobohan struktur asal pasar lama, 214 unit ruang
niaga, 84 petak tempat letak kereta termasuk tempat letak kereta mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), 39 petak tempat letak motorsikal, tiga petak tempat letak lori.
Bagi proses pembinaan pasar baharu ini, kontraktor telah memulakan kerja-kerja di tapak pada 20 November 2024 dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 18 November 2026 iaitu mengambil masa 24 bulan.
KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) juga telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan
pasar sementara bagi projek ini yang terletak di atas tanah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut menyumbang peruntukan sebanyak RM540,000 bagi projek pasar sementara menjadikan jumlah keseluruhan bagi pasar sementara sebanyak RM1.54 juta.
Menurut Kor Ming, Pasar Pasir Pinji akan menjadi sebuah pasar moden yang bukan sahaja menawarkan persekitaran yang menarik malah ia juga mesra OKU dan warga emas.
“Pelaksanaan projek pasar ini turut mengambil kira elemen hijau seperti Sistem Penyimpanan Air Hujan (SPAH), Penarafan Hijau (PH) dan Sistem Penjimatan Tenaga,” katanya.
Siri lawatan itu diteruskan dengan lawatan ke Pasar Taman Canning untuk meninjau pasar yang selesai dinaik taraf pada tahun 2024.
Peruntukan menaik taraf pasar ini berjumlah RM500,000 yang disalurkan oleh KPKT melalui Jabatan Kerajaan
Tempatan (JKT). Kerja menaik taraf pasar ini telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh 12 minggu oleh kontraktor yang dilantik.
Kerja-kerja naik taraf yang terlibat adalah meliputi penggantian roller shutter dan grille, kerja-kerja mengecat, kerja-kerja elektrik, penggantian pagar lama dengan pagar jenis anti-climb serta kerja-kerja menambahbaik landskap.
Projek naik taraf Pasar Canning ini dilihat dapat meningkatkan tahap keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung pasar ini malah turut membantu menjana pendapatan rakyat.
Hal ini selaras dengan usaha KPKT untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang seimbang seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. – SM