Nasional

Perhilitan Johor selamatkan tapir jantan sesat di Jementah

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor berjaya menyelamatkan seekor tapir jantan dewasa yang tersesat dan berkeliaran di sebuah kilang di Jementah, dekat Segamat, petang semalam.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata pihaknya menerima aduan mengenai mamalia berkenaan pada pukul 3.45 petang sebelum sepasukan kakitangan Perhilitan dan Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah Zon Selatan bergegas ke lokasi yang terletak berdekatan dengan sebuah ladang kelapa sawit, berhampiran Hutan Simpan Jementah dan kira-kira 15 kilometer dari bandar Segamat.

“Operasi tangkapan tapir dijalankan bermula pada pukul 5.15 petang pada hari yang sama. Selepas itu, tapir jantan itu dilepaskan ke Taman Negara Endau Rompin dan operasinya selesai sekitar pukul 3.30 awal pagi melibatkan kekuatan seramai 12 anggota,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan operasi menyelamat tapir itu, risiko haiwan berkenaan menjadi mangsa kemalangan jalan raya serta pemburu haram dapat dikurangkan.

“Dalam masa yang sama, Perhilitan akan terus menjalankan usaha-usaha menyelamat hidupan liar di negara ini selaku barisan hadapan dalam pemuliharaan hidupan liar,” katanya seperti dilaporkan oleh – BERNAMA

BACA

Sebelum ini bangkai seekor tapir Malaya betina ditemukan di Batu 20, Jalan Kota Tinggi-Mersing, awal pagi ini dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat.

Salman Saaban berkata haiwan berusia antara lima hingga enam tahun dan seberat 200 kilogram itu ditemukan orang awam di tepi jalan berkenaan sebelum dimaklumkan kepada pihak Perhilitan, pagi tadi.

“Terdapat kecederaan dan kesan luka akibat seretan atau dilanggar oleh kenderaan di bahagian badan. Namun kenderaan yang disyaki melanggar tapir tiada di lokasi kejadian semasa siasatan dijalankan.

“Pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian juga mendapati tiada kesan terbabas kenderaan, justeru haiwan itu dipercayai dilanggar kenderaan berat,” katanya.

Salman berkata berdasarkan kesan laluan di kawasan semak-samun berhampiran, pihaknya percaya tapir tersebut datang dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Sedeli dan cuba untuk melintasi jalan raya berkenaan untuk menuju ke arah Ladang RISDA Ulu Sedeli yang terletak berhampiran sebelum dilanggar.

(Visited 370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button