Nasional

KPDNHEP sumbang lima mesin ventilator bernilai RM125,00 kepada Hospital Kapit

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyumbangkan lima buah mesin ventilator bernilai RM125,000 kepada Hospital Kapit, Sarawak hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sumbangan itu diberikan hasil peruntukan wakalah agihan zakat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Sumbangan mesin ventilator ini merupakan sebahagian daripada inisiatif SSM dalam usaha untuk memanfaatkan peruntukan wakalah agihan zakat korporat di bawah kategori fisabilillah bagi membantu pesakit yang mengalami masalah pernafasan yang teruk akibat jangkitan wabak Covid-19.

“Mesin ventilator ini akan menjadi alat sokongan kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan untuk mengawal pengaliran oksigen dengan lebih baik dan mudah dikendalikan berbanding alat bantuan pernafasan biasa,” katanya.

Menurut Alexander,  SSM merupakan sebuah agensi kerajaan di bawah KPDNHEP yang bertanggungjawab mengawal selia sektor korporat dan perniagaan di negara ini.

Jelasnya, dalam berhadapan dengan cabaran Covid-19, SSM telah memperkenalkan 11 inisiatif pada tahun 2021 untuk membantu sektor perniagaan dan korporat berhadapan dengan situasi mencabar ketika ini.

“Saya berharap inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh sektor korporat memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.

“Selain itu, saya juga berbesar hati untuk memaklumkan SSM turut membantu golongan yang terkesan melalui peruntukan agihan wakalah zakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Dalam pada itu, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit turut menghulurkan bantuan menerusi Program Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada hari ini.

Jelasnya,  Bantuan Bakul Makanan bagi Parlimen Kapit, Sarawak telah diadakan membabitkan penerima dari ketiga-tiga kawasan DUN termasuk Katibas (N62), Pelagus (N61) dan Bukit Goram (N63).

“Menerusi PEMULIH, Kerajaan Pusat telah meluluskan sejumlah RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Pembangkang untuk membantu golongan yang amat memerlukan dan
terdesak dalam bentuk barang makanan asas di kawasan masing-masing.

“Bagi kawasan Parlimen Kapit P215, saya telah mengagihkan sejumlah RM100,000 untuk setiap kawasan DUN di bawah kawasan Parlimen Kapit.

“Program pengagihan ini akan dibuat dalam masa sebulan sehingga Ogos menerusi Jawatankuasa tertentu bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kapit (P215),” katanya.

Antara makanan yang disumbangkan di dalam Bantuan Bakul Makanan ini adalah makanan kering dan bahan masakan yang diharapkan dapat membantu meringankan beban penduduk yang kurang berkemampuan dan terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Inisiatif ini akan diteruskan ke beberapa kawasan yang lain bagi membantu lebih banyak rakyat yang terjejas terutamanya golongan sasar.

“Dengan tanggungjawab dan usaha komited yang dijalankan oleh Pejabat Parlimen Kapit, usaha mendekati dan membantu rakyat akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya. -SM

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button