Hiburan

Azwan Ali terima padah, didenda RM17,000 atau enam bulan penjara

COVID-19: Hina petugas Hospital Putrajaya

MENGGUNAKAN isu Covid-19 untuk menyakiti orang lain membawa padah kepada Azwan Ali.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini telah menjatuhkan hukuman denda RM17,000 terhadap Azwan Ali selepas dia mengaku bersalah menyakitkan hati orang lain berhubung wabak COVID-19.

Memetik laporan Berita Harian, Azwan dituduh memuat naik video yang menghina petugas Hospital Putrajaya dalam mengendalikan pendamik yang melanda seluruh dunia.

Hakim Azura Alwi memerintahkan Azwan, 54, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

BERKAITAN:

Azwan Ali tetap celupar, denda sudah dibayar

Terdahulu, Azwan yang berpakaian serba hitam didakwa menggunakan laman sosial YouTube “DIVAAATERSOHOR” secara sedar membuat penghantaran dengan niat menyakitkan hati orang lain di Pejabat Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya pada 24 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Azwan diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ammanjeet Singh.

Dalam rayuannya, selebriti kontroversi itu memohon dikenakan hukuman ringan kerana itu adalah kesalahan pertama.

Rayunya, dia juga sudah membuat permohonan maaf menerusi semua akaun media sosial miliknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Ab Razak, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan situasi sekarang di mana semua pihak harus belajar untuk menghormati mereka yang bekerja di barisan hadapan.

“Hantaran ini dikeluarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dibuat dan ia adalah perkara yang serius. Sekiranya berulang ia akan memberi satu impak yang tidak baik,” katanya.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula 18 Mac lalu, mahkamah di seluruh negara ditutup dan hanya beroperasi untuk mengendalikan kes baharu, reman dan permohonan jaminan dengan kehadiran minimum.

Susulan itu, petugas media yang sudah berkumpul seawal jam 8 pagi tidak dibenarkan masuk ke perkarangan dan kamar mahkamah, sebaliknya hanya mendapat maklumat daripada pihak pendakwaan.

Azwan sudah membuat permohonan maaf menerusi rakaman video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya. Rabu lalu. – SM

(Visited 385 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button