Nasional

KPDNHEP kompaun 81 premis dalam tempoh seminggu

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenakan kompaun terhadap 81 premis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM402,500 dikutip dari 28 Jun sehingga 2 Julai 2021. KPDNHEP berkata, sejumlah 8,516 premis telah diperiksa dalam tempoh tersebut.

“Sepanjang pemantauan pematuhan dilaksanakan, didapati pematuhan sektor perdagangan pengedaran boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan di mana 98.55% premis patuh kepada SOP ditetapkan.

“Manakala 0.10% premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.25% premis diberi nasihat dan amaran. Sebanyak 32 aduan diterima daripada orang awam dan kesemuanya telah disiasat sepanjang tempoh PKP 3.0,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi memastikan SOP PKP 3.0 sektor perdagangan pengedaran dilaksanakan dengan efektif KPDNHEP telah menggerakkan seramai 2,262 orang penguatkuasa di seluruh negara.

Ia bagi memastikan pematuhan sepenuhnya SOP yang ditetapkan di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran. -SM

(Visited 76 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button