Nasional

KPDNHEP kenakan tindakan tegas kepada 4 syarikat pembungkus minyak masak

BAHAGIAN Penguat Kuasa KPDNHEP bertindak tegas terhadap empat syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi dengan membatalkan kuota yang telah diberikan kepada mereka sebelum ini.

Tindakan itu diambil susulan daripada bahagian penguat kuasa menjalankan pengauditan secara komprehesif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak bersubsidi dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya.

Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi, pihaknya telah berjaya menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi sebanyak 318 kes di seluruh negara sejak 2016 sehingga Mac 2021.

“Berdasarkan rekod, terdapat 11 pembungkus minyak masak bersubsidi dibawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) di Sarawak dengan kuota berjumlah 3,067 metrik tan.

“Semakan rekod juga mendapati aduan berkaitan minyak masak di Wilayah Sarawak pada tahun 2020 sehingga 31 Mac 2021 ialah 25 aduan danselain daripada itu, 4,221 pemeriksaan telah dibuat ke atas premis-premis yang menjual minyak masak sehingga 12 April 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya, KPDNHEP juga telah menghasilkan lapan kes sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Alexandar berkata, KPDNHEP mengambil maklum tentang aduan minyak masak bersubsidi di Wilayah Sarawak sebagaimana dilaporkan di laman sesawang Borneo Post Online bertarikh 12 April lalu.

Laporan tersebut telah menyatakan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi berpunca daripada tindakan syarikat pembungkus minyak masak yang tidak jujur dalam membekalkan minyak masak bersubsidi mengikut kuantiti yang telah ditetapkan bagi edaran ke pasaraya dan kedai runcit.

Laporan tersebut turut mencadangkan supaya KPDNHEP mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas aktiviti pembungkusan minyak masak bersubsidi seterusnya memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM400 juta pada tahun 2021 dibelanjakan dengan berhemah.

Laporan tersebut juga menyentuh kejayaan Kerajaan terdahulu dalam mengurangkan harga gula bertapis untuk kegunaan industri makanan dan minuman kepada RM1.70 dan RM1.80 per kilogram manakala Kerajaan sekarang didakwa kurang prihatin sehingga menyebabkan pihak industri makanan dan minuman perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan gula bertapis pada harga RM2.75 per kilogram.

Justeru kata Alexandar, KPDNHEP ingin menjelaskan bahawa Kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan termasuk tahun 2020 dan 2021 walaupun harga RBD Palm Olien telah meningkat sebanyak 83% kepada RM4,122 per tan metrik pada tahun 2021 berbanding RM2,255 per tan metrik pada tahun 2020.

“Ini bersamaan dengan 60 juta paket polibeg 1kg iaitu 1.5kg diperuntukkan untuk setiap rakyat Malaysia termasuk Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah dan Kerajaan turut menambah peruntukan atas dasar komitmen Kerajaan untuk membekalkan 60,000 tan metrik setiap tahun meskipun harga RBD Palm Olien telah meningkat,” kata beliau dalam kenyataan yang sama. – SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button