Nasional

KPDNHEP kaji mekanisma perkenal harga dua peringkat minyak sawit

Peningkatan harga minyak sawit mentah jejas perbelanjaan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak

PENINGKATAN harga minyak sawit mentah (CPO) telah memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan dalam menstabilkan harga minyak masak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan melihat kepada beberapa kaedah dalam memastikan bekalan minyak masak sawit kekal dijual secara runcit dengan harga yang tidak membebankan pengguna termasuk memperkenalkan kaedah harga dua peringkat minyak sawit mentah yang masih dalam kajian pihak kementerian untuk dilaksanakan kelak.

“Keadaan sekarang, harga bagi satu tan metrik CPO di peringkat global telah melambung naik. Apabila kita meletakkan nilai ambang subsisdi beberapa tahun sebelum ini kepada RM2,500 bagi satu tan metrik CPO, sekarang ia telah naik melipat kali ganda iaitu lebih RM5,000 bagi satu tan metrik. Sekiranya ia terus melambung, sudah tentu ia memberi kesan kepada perbelanjaan bagi pelaksanaan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.” katanya lagi.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

“Kerajaan akan melihat kepada kaedah lain bagi memastikan bekalan minyak masak sawit mencukupi di pasaran dan juga memastikan minyak sawit dijual secara runcit pada harga yang tidak membebankan pengguna khususnya kepada golongan B40,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) yang ingin tahu kesan kepada Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak sekiranya CPO terus melambung naik.


Dalam pada itu, beliau berkata kajian bagi mengoptimumkan subsidi seliaan KPDNHEP dilakukan bagi memastikan ia dapat dioptimum, selain agihannya sampai kepada golongan sasaran.

Menurut Alexander, kajian berkenaan dimulakan pada 2021 dan dijangka selesai menjelang tahun depan. Melalui kajian itu, katanya, aspek keberkesanan pelaksanaan program subsidi sedia ada akan dinilai, membabitkan keberkesanan penyampaian, mekanisme pelaksanaan, darjah ketirisan dan kos terbabit.

KPDNHEP juga dalam pada itu mengesan 19 kes ketidaktirisan peniaga yang mempeketkan semula minyak masak yang telah disubsidi.  Malah sebahagian dari kes terbabit bakal berdepan tindakan mahkamah. – SM

(Visited 23 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button