Politik

Kerajaan perlu segera gubal akta anti lompat parti – Asyraf Wajdi

Kerajaan harus segera gubal akta anti lompat parti bagi memastikan negara kekal stabil.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, katak-katak politik akan menyebabkan negara terus tidak stabil.

“Selagi tiada Akta ini, selagi itulah politik negara tidak akan stabil lantaran terus wujud katak-katak politik berkepentingan dan rakus kuasa hingga rakyat menjadi mangsa,” katanya melalui media sosial.

Tambahnya, kegiatan lompat parti dilakukan oleh semua parti politik.

Contoh terbaharu berlaku di Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berlangsung.

“Episod lompat parti jangan dilihat daripada satu sudut semata-mata. Semua pihak ada saham dalamnya. Sebagaimana yang berlaku dalam episod seawal Kerajaan Pakatan Harapan dibentuk, Sabah menyaksikan negeri pertama jatuhnya kerajaan apabila beberapa Adun BN lompat ke Warisan.

“Kemudian PH juga menghalalkan lompat parti 15 Ahli Parlimen UMNO ke PPBM. Akhirnya, PH jatuh juga kerana PPBM melompat keluar daripada menjadi komponen PH, ditambah beberapa Ahli Parlimen PKR lompat kepada PPBM.

“Putaran roda terus berlaku bak kata pepatah Inggeris ‘What Goes Around Comes Around’ episod jatuh bangun kerajaan kerana lompat melompat terus berlarutan sehingga menyebabkan politik negara tidak akan stabil,” jelas beliau.

Ketika ini berlaku krisis politik di Melaka selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tampil mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam.

Dua ADUN terbabit dari BN Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).-SM

 

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button