KemalanganLuar Negara

Kotak hitam Sriwijaya Air SJ182 ditemukan, kini dalam misi pencarian kotak hitam yang kedua

Pasukan Pencari dan Penyelamat (SAR) Indonesia berjaya menemukan kotak hitam pesawat Sriwijaya Air SJ182 yang terhempas Sabtu lalu di perairan berhampiran ibu negara Indonesia.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan, Panglima Tentera Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto berkata kotak hitam yang ditemukan itu merupakan “Flight Data Recorder” (FDR).

FDR ditemukan oleh pasukan penyelam Tentera Laut Indonesia, di sekitar perairan Pulau Laki dan Pulau Lancang di Kepulauan Seribu pada Selasa, jam 4.20 petang waktu Indonesia Barat.

Kotak hitam pesawat Sriwijaya Air SJ182

Beliau juga memaklumkan operasi pencarian akan tetap diteruskan lagi untuk mengesan “Cockpit Voice Recorder” (CVR), serpihan pesawat, dan mangsa yang terkorban dengan nahas itu.

Manakala menurut Ketua Operasi Pencarian dan Penyelamat pesawat SJ182, Rahman MS, kini pencarian kotak hitam kedua sedang giat dijalankan dalam misi mencari jawapan kepada punca pesawat itu terhempas beberapa minit selepas berlepas.

“Kotak hitam yang mengandungi data merangkumi kelajuan pesawat, altitud dan arah perjalanan pesawat serta perbualan anak kapal dapat memberikan klu mengapa ianya terjunam kira-kira 10,000 kaki ke dalam laut pada Sabtu lalu”, katanya.

Terdahulu, Pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air yang dalam penerbangan dari Jakarta ke Pontianak membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal terputus hubungan selepas berlepas pada pukul 2.36 petang pada Sabtu lepas.

Pesawat itu kemudian ditemukan terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta.

(Visited 261 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button