Politik

Kos PRN Melaka & PRN Johor Ke-15 Bernilai RM141 Juta – Mas Ermieyati

Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang ke-15 membabitkan kos berjumlah RM141 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ia meliputi kos proses perolehan, pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, kenderaan, pembangunan sistem maklumat dan teknologi, logistik, elaun petugas serta keperluan lain.

Selain itu, beliau berkata, ia juga meliputi perbelanjaan berkaitan seperti peralatan mengikut garis panduan pencegahan COVID-19.

“Kos bagi melaksanakan PRN Melaka Ke-15 ialah sebanyak RM45 juta, manakala PRN Johor pula RM96 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melantik 273 peserta sebagai ‘Associate Trainer’ Akademi Pilihan Raya (AAT), setakat ini.

Katanya, ia bagi melayakkan mereka berperanan sebagai penceramah dan jurulatih yang menyampaikan maklumat mengenai proses pilihan raya di negara ini.

Beliau berkata, mereka akan memberi pendidikan berhubung perkara itu kepada pelajar sekolah serta golongan belia di institusi pendidikan seluruh negara.

“Saya juga hendak menyentuh berkenaan memberi pendidikan kepada pengundi, terutama golongan belia. SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa kementerian untuk melaksanakan program pendidikan pengundi bertujuan memberi kefahaman mengenai proses pilihan raya di Malaysia.

“Ia termasuk mempersiapkan golongan belia agar menjadi warganegara yang bertanggungjawab dengan membabitkan diri dalam pilihan raya,” katanya.

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button