fbpx
NasionalUncategorized

Koronavirus: Satu lagi kes positif, jumlah terkini lapan

SATU lagi kes positif 2019 novel koronavirus dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes yang disahkan di negara ini meningkat kepada lapan, setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan, berkata kesemua lapan kes itu terdiri daripada warganegara China.

Beliau berkata kes terbaharu membabitkan seorang wanita berusia 49 tahun.

“Kes kelapan ini adalah warganegara China berusia 49 tahun yang telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
14 warga China dari Wuhan dihantar balik

Ke mana perginya 5 juta ‘halimunan’ Wuhan?

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata lima kes masih menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari China.

“Mereka yang dikenal pasti akan diletakkan di bawah pemantauan di rumah dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan alat penilaian di rumah. Sekiranya mereka ini menunjukkan gejala, pelajar atau pensyarah ini akan dirujuk kepada fasiliti kesihatan yang dikenal pasti dengan segera,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan juga bekerjasama rapat dengan beberapa kementerian lain bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang bekerja di Wuhan, China.

Semalam Bernama melaporkan, Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin mengesahkan 82 rakyat Malaysia yang setakat ini dikenal pasti berada di Wuhan dan sekitarnya, bebas daripada jangkitan novel koronavirus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media semalam, berkata Malaysia bersedia untuk membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.

Dr Mahathir berkata kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China bagi tujuan itu.
– BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button