Agama

Korban: Bank Rakyat santuni ummah antarabangsa

KUALA LUMPUR 7 Jun – Bank Rakyat meneruskan tradisi menyantuni golongan yang memerlukan menerusi Program Korban Bank Rakyat sempena sambutan Aidiladha pada tahun ini. Program Hulurkan Salam Aidiladha menyasarkan masyarakat dalam negara manakala Program Kembara Qurban Kemboja Bank Rakyat menyasarkan masyarakat Islam di luar negara.

Pada tahun ini, Bank Rakyat melaksanakan Program Korban Bank Rakyat yang melibatkan keseluruhan 241 ekor lembu dan 159 ekor kambing dalam negara bermula 7 hingga 20 Jun 2025, manakala 45 ekor lembu di Kemboja pada 7 Jun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, bagi Program Hulurkan Salam Aidiladha, agihan daging korban dalam negara adalah daripada para pemegang Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Surau Al-Barakah MKBR berjumlah lebih RM1.52 juta.

Tambah beliau, inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Bank dalam menyantuni mereka

yang memerlukan, selain dapat merapatkan hubungan sesama insan, seiring dengan nilai Malaysia MADANI yang mementingkan kesejahteraan, keihsanan dan kemakmuran sejagat.

Bagi tahun ini, Program Hulurkan Salam Aidiladha turut memperkukuh penglibatan 18 rakan strategik yang terdiri daripada Avisenna Healthcare Sdn Bhd, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Masjid As-Sodiqin Taman Kobena Cheras, Masjid Muhammadi Kota Bharu, Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Masjid Umar Ibnu Al-Khattab Bayan Baru, Kelab Kebajikan Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) Johor (KFFJ), Masjid Jamek An-Nur Wilayah Persekutuan Labuan, Madrasah Rumah Awam ke-2 Pulau Gadong, Melaka, Pusat Operasi FAMA, Senawang, Negeri Sembilan, Sekolah Kebangsaan Jelapang, Masjid Nurul Taqwa, Kg Sri Payung, Lahad Datu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin Sungai Bertih (SAMBERT), Koperasi Perumahan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi (KOPLIT), Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST), Takaful Ikhlas dan Surau Al-Barakah.

Sementara itu, Program Kembara Qurban Kemboja 2025, turut menyantuni komuniti Islam di Kampung Trapeng Prinh dan Kampung Keh, Kemboja. Program ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif Program Kembara Qurban Kemboja yang diperkenalkan sejak tahun 2015, yang turut menjadi platform Bank Rakyat berkenaan dalam memperluaskan usaha Jangkauan Komunitinya ke peringkat antarabangsa.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria (foto), ”tujuan utama program ini adalah untuk menyantuni penduduk di kawasan pedalaman Kemboja yang hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan, di samping memberi peluang kepada mereka yang beragama Islam untuk merasai kenikmatan dan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha seperti umat Islam di negara lain.”

”Inisiatif pelaksanaan ibadah korban ini sejak dianjurkan pada tahun 2018 telah manfaat kepada pelbagai masyarakat, khususnya golongan asnaf, selain mencerminkan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap Akaun Simpanan-i Tabung Qurban”, katanya.

Pada tahun ini, selain melaksanakan agihan daging korban, Bank Rakyat bersama rakan strategik turut menyalurkan bantuan makanan asas kepada 150 keluarga di Kampung Swai Relom, Wilayah Kandal, Kemboja. Setiap keluarga menerima 10 kilogram beras sebagai sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan ini. Rakan strategik bagi Program Kembara Qurban Kemboja Bank Rakyat terdiri daripada Maahad Imam Syafi’e (MIS)

Kampung Keh Kampot, Pusat Wakaf Endowmen Zakat Khairat dan Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan As-Syafi’e serta Shafi’e Charitable Association.

Selain itu, penyertaan ibadah korban kini boleh dilakukan menerusi BRICK yang mana pelanggan tidak perlu lagi ke cawangan untuk mendaftar bagi menyertai ibadah korban bersama Bank Rakyat.

“Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap usaha memakmurkan masyarakat setempat kerana keteguhannya adalah berkat sokongan anggota dan pelanggan di setiap pelusuk negara. Lebih-lebih lagi ketika musim perayaan ini, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk saling membantu dengan berkongsi rezeki dan mengeratkan ukhuwah sesama kita,” tambah Nor Haimee.

Pelanggan yang berminat melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300805454 atau layari laman sesawang www.bankrakyat.com.my dan mengunjungi Cawangan Bank Rakyat yang terdekat untuk maklumat lanjut.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button